REAKSI Mbappe (tengah) selepas menjaringkan gol. FOTO AFP
REAKSI Mbappe (tengah) selepas menjaringkan gol. FOTO AFP
AFP

Paris: Perancis menempah tiket ke Piala Dunia tahun depan di Qatar dengan bergaya apabila Kylian Mbappe meledak empat gol ketika membelasah Kazakhstan 8-0 di Parc des Princes, awal pagi tadi.

Karim Benzema menjaringkan dua gol manakala Adrien Rabiot dan Antoine Griezmann masing-masing menyumbang satu gol. Jaringan Griezmann menerusi sepakan penalti adalah gol peribadi ke-42 untuk Perancis.

Hanya Thierry Henry (51 gol) dan Olivier Giroud (46 gol) menjaringkan lebih banyak gol untuk Perancis.

Perancis akan menyertai Belgium selepas pasukan yang menduduki ranking pertama dunia itu menewaskan Estonia 3-1 di Brussels untuk memastikan mereka menduduki tangga teratas Kumpulan E mengatasi Wales yang menewaskan Belarus 5-1 di Cardiff.

Perancis kini menduduki tangga teratas Kumpulan D sekali gus menyaksikan Finland dan Ukraine bersaing untuk meraih tempat kedua.

"Beraksi di Piala Dunia menjadi satu impian dan sasaran. Ia adalah segala-galanya dan amat menarik dapat bersama pasukan yang mampu memenanginya. Kami akan beraksi di sana untuk memenanginya," kata Mbappe.

Belgium hanya seri sekali pada kempen kelayakan setakat ini dan mereka sedar kemenangan ke atas Estonia akan menjamin kedudukan di tangga teratas Kumpulan E.

Bagaimanapun jurulatih Belgium, Roberto Martinez tidak dapat menggunakan khidmat Romelu Lukaku, Mitchy Batshuayi dan Touri Tielemans yang mengalami kecederaan.

Beliau terpaksa memanggil Christian Benteke dan penyerang Crystal Palace itu nyata tidak mengecewakan apabila meledak gol hanya selepas 11 minit perlawanan.

"Saya tahu yang saya hanya pilihan ketiga di bahagian penyerang tetapi tidak pernah berputus asa," kata Benteke.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 7:39 AM