MODRIC (kanan) menjaringkan gol untuk Croatia. FOTO AP
MODRIC (kanan) menjaringkan gol untuk Croatia. FOTO AP
AFP

London: Croatia dan Belanda menempah slot empat terakhir Liga Negara-Negara ketika penyandang juara, Perancis memerlukan bantuan untuk mengelak tersingkir daripada liga utama.

Les Bleus tewas 0-2 di Denmark untuk menamatkan aksi Liga A, Kumpulan 1, dengan hanya satu kemenangan daripada enam perlawanan, tetapi kemenangan 3-1 Croatia di Austria menyelamatkan juara dunia itu daripada tersingkir.

Didier Deschamps berharap beberapa pemain utama dapat pulih daripada kecederaan dalam usaha mereka untuk mempertahankan kejuaraan Piala Dunia dengan aksi pertama bertemu Australia pada 22 November.

"Ia adalah pasukan muda Perancis, yang sebahagian besarnya belum mempunyai pengalaman tahap tertinggi.

"Hari ini adalah realiti sebenar dan apa yang akan menanti kita dalam masa dua bulan dari sekarang," kata Deschamps.

Denmark yang juga akan bertemu Perancis pada aksi peringkat kumpulan di Qatar, menunjukkan mereka juga mampu memberikan masalah kepada juara bertahan itu di Piala Dunia.

Kedua-dua gol hadir menerusi jaringan Kasper Dolberg dan Andreas Skov Olsen pada babak pertama.

Perancis tanpa Hugo Lloris, Jules Kounde, N'Golo Kante, Paul Pogba, Ousmane Dembele dan Karim Benzema kerana kecederaan.

Tetapi trio bintang Antoine Griezmann, Olivier Giroud dan Kylian Mbappe yang turun beraksi gagal menemui sentuhan untuk Perancis.

Sementara itu gol Croatia dijaringkan oleh Luka Modric, Marko Livaja dan Dejan Lovren masing-masing pada minit ke-6, 69 dan 72 sekali gus muncul juara kumpulan.

Belanda pula menyaksikan gol tunggal Virgil van Dijk menerusi tandukan pada minit ke-73 sudah cukup untuk menewaskan Belgium 1-0 dalam aksi Liga A, Kumpulan 4.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 7:24 AM