BARISAN pengurusan tertinggi FAM melakukan perbincangan bersama ahli jawatankuasa tertinggi PFAM. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
BARISAN pengurusan tertinggi FAM melakukan perbincangan bersama ahli jawatankuasa tertinggi PFAM. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak pernah memandang remeh berkaitan isu pemain apabila mengadakan perjumpaan bersama Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dalam usaha mencari penyelesaian membabitkan beberapa perkara sejak kebelakangan ini.

Menerusi kenyataan media memaklumkan bahawa perbincangan terbabit lebih kepada untuk meningkatkan lagi dan menambah baik gerak kerja antara FAM dan PFAM terutama dalam undang-undang bola sepak membabitkan pemain.

"Kerjasama antara FAM dan PFAM penting dalam memainkan peranan besar menyelesaikan isu semasa bola sepak khususnya untuk memelihara kepentingan pemain dan mutu bola sepak negara," katanya.

Hadir sama dalam perbincangan ialah dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi bersama Datuk S Sivasundaram,Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang FAM, Saaran Nadarajah dan Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Sementara itu, PFAM diwakili Presidennya Safee Sali, Timbalan Presiden PFAM, Shahrom Kalam, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail, Setiausaha PFAM Razman Roslan dan Eksekutif Perundangan PFAM Azzairi Rosle.

Selain itu, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengingatkan FAM bersama PFAM perlu teruskan kerjasama yang baik dan berkomunikasi secara telus dalam sama-sama memikirkan kaedah menyelesaikan isu bola sepak bersama.

Beliau berkata, antara lain turut dibincangkan ialah isu tunggakan gaji pemain yang semakin menurun tetapi masih ada menghimpit beberapa pasukan, perkara membabitkan cukai pendapatan pemain dan cadangan atau kaedah jika melaksanakan tangga gaji siling.

"FAM dan PFAM sentiasa memandang serius isu tunggakan gaji, diingatkan kelab untuk berbelanja mengikut bajet dan kemampuan kadar kewangan supaya masalah ini tidak lagi membelenggu dunia bola sepak negara.

"Kami juga berbincang dan memberi cadangan untuk mengukuhkan lagi cara serta pemahaman pengurusan penswastaan kelab di mana ia penting untuk pembangunan pemain serta bola sepak secara keseluruhan.

"Secara kesimpulan, kerjasama erat amat penting antara FAM dan PFAM untuk kedua organisasi ini memikirkan kepentingan bersama antara kelab dan pemain demi kemajuan bola sepak negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 3:54 PM