S VEENOD
S VEENOD
Rodly Fadly

 

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menasihati S Veenod supaya membuat aduan rasmi kepada PFAM berhubung masalah tunggakan gaji oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya berkata ia adalah jalan terbaik untuk pemain itu mendapatkan haknya sekiranya usaha sebelum ini menemui jalan buntu.

“Sebelum ini Veenod ada meminta pandangan PFAM berkenaan masalah tunggakan gaji yang dihadapinya bersama KAFA. Kami menasihatinya supaya cuba berunding terlebih dahulu supaya diselesaikan tanpa melibatkan PFAM mahupun FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia),” kata Rezal.

“Apatah lagi Veenod masih mempunyai kontrak dengan pasukan Kelantan, jadi adalah lebih elok jika dia mengikut saluran dalam KAFA untuk menuntut haknya.

“Saya difahamkan oleh Veenod, dia sudah menemui presiden KAFA untuk berbincang mengenai isu ini. Sehingga sekarang dia tidak memaklumkan kepada kami perkembangan terbaru kecuali kami mengetahui melalui kenyataannya kepada media.

“Nasihat saya, jika benar ia belum selesai dan dia tidak mempunyai jalan lain untuk menyelesaikannya, buatlah aduan secara rasmi kepada PFAM, kami akan membantunya.”

Menurut Rezal, selepas mendapat aduan rasmi, PFAM akan menulis surat kepada pihak terbabit untuk meminta penjelasan serta mengadakan rundingan untuk menyelesaikan masalah itu.

Namun, jika persatuan berkenaan masih mengambil sikap berdiam diri selepas tujuh hari surat dikemukakan, PFAM akan menghantar surat kali kedua serta memberi tempoh seminggu lagi untuk menjawabnya.

“Jika mereka berdegil atau rundingan gagal mencapai persetujuan kedua-dua pihak, PFAM akan memanjangkan kes ini ke Jawatankuasa Status FAM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Semalam, Veenod mendedahkan KAFA masih berhutang hampir RM100,000 dengannya untuk tunggakan gaji sejak Februari dan meminta badan bola sepak itu menyelesaikan segera.

Veenod adalah antara pemain yang digugurkan oleh jurulatih baharu The  Red Warriors, Fajer Ebrahim namun masih mempunyai kontrak sehingga penghujung musim 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 1:42 PM