ENRIQUE memberi arahan kepada pemain Sepanyol ketika sesi latihan di  Madrid, semalam.
ENRIQUE memberi arahan kepada pemain Sepanyol ketika sesi latihan di Madrid, semalam.
AFP

Milan: Itali dan Sepanyol sekali lagi berdepan dalam pertarungan separuh akhir namun kali ini dalam saingan Liga Negara-Negara di San Siro pada awal pagi Khamis.

Sepanyol tewas menerusi penentuan penalti pada separuh akhir Euro 2020 pada Julai lalu sebelum Azzurri muncul juara.

Skuad Roberto Mancini kini tidak tewas 37 perlawanan dan dijangka bakal diperkuatkan kesebelasan sama yang menewaskan England untuk muncul juara di Wembley.

"Kami akan berdepan skuad Itali yang hebat. Mereka memang layak menewaskan England di final Euro 2020 dan kekal tanpa kalah untuk tempoh sangat lama,'' kata jurulatih Sepanyol, Luis Enrique.

"Tetapi seperti kata pakar fisiologi kami, kekalahan berlaku kepada semua pasukan dan detik itu makin menghampiri mereka."

Mancini pula mengakui Sepanyol pasukan paling sukar ditewaskan ketika Euro 2020.

"Mereka pasukan hebat dengan ramai pemain yang bagus. Ia pasti perlawanan yang menarik," katanya kepada uefa.com.

Itali turut menampilkan pemain tengah Roma, Lorenzo Pellegrini yang pada Ahad lalu meledak gol keenamnya musim ini dalam semua kejohanan manakala penyerang Juventus Moise Kean, pertahanan AC Milan Davide Calabria dan pemain muda Inter Milan Federico Dimarco turut tersenarai saat akhir.

Perlawanan Khamis ini turut menyaksikan kepulangan semula Gianluigi Donnarumma ke San Siro selepas meninggalkan AC Milan untuk menyertai Paris Saint-Germain dengan yuran perpindahan percuma pada musim panas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 9:59 AM