JURULATIH Itali, Roberto Mancini meraikan kemenangan ke atas Sepanyol di separuh akhir Euro 2020, Selasa lalu dan akan berentap dengan England di final, malam esok. FOTO AFP
JURULATIH Itali, Roberto Mancini meraikan kemenangan ke atas Sepanyol di separuh akhir Euro 2020, Selasa lalu dan akan berentap dengan England di final, malam esok. FOTO AFP
Agensi

London: Itali melangkah ke Euro 2020 dengan prestasi terbaik berbanding negara lain dan mencipta rekod apabila kemenangan ke atas Sepanyol di separuh akhir adalah aksi ke-33 tanpa kalah sejak September 2018.

Sepanjang tempoh itu, mereka hanya seri lima kali. Dalam lima perlawanan awal Euro 2020, mereka menjaringkan 12 gol (ketinggalan di belakang Sepanyol) dan dibolosi tiga kali (England dibolosi sekali).

Jurulatih, Roberto Mancini berhak dipuji di sebalik peningkatan Itali apabila mengubah daripada gaya lama bertahan kepada permainan lebih menyerang dan menyeronokkan.

Pengendali berusia 56 tahun itu tidak asing dengan cabaran besar ketika dua kali membimbing Inter Milan dan Manchester City serta mencipta peningkatan kelab yang dimanfaatkan di pentas antarabangsa.

Taktikalnya yang lebih mencabar membuahkan hasil dan pemain menikmati lebih banyak kebebasan ketika beraksi di tengah padang.

Secara tradisinya, Itali lebih mengutamakan benteng dan kerap tidak membenarkan lawan menjaringkan gol, berbanding berusaha memenangi perlawanan lebih awal.

Taktikal itu membantu mereka memenangi satu trofi Kejuaraan Eropah dan empat Piala Dunia, dengan yang terakhir pada 2006.

Selepas itu, prestasi mereka di kejohanan utama menurun termasuk gagal layak ke Piala Dunia 2018 di Russia, selepas gagal melepasi peringkat kumpulan dalam dua edisi sebelumnya, menyebabkan perubahan penampilan perlu dibuat.

Anak buah Mancini bertindak mencari gol menerusi pemain sayap dan membuka ruang lebih besar kepada pemain pertahanan seperti Leonardo Spinazzola untuk mengancam lawan.

Memiliki trio pemain tengah terbaik Euro 2020 diketuai pemain Chelsea, Jorginho turut memberi kelebihan dan menekan lawan.

Itali melangkah dengan tulang belakang yang kuat. Penjaga gol, Gianluigi Donnarumma dengan ketinggian 190 meter sudah memiliki 32 cap pada usia 22 tahun dan banyak kali menyelamatkan percubaan berbahaya sepanjang kejohanan.

Gandingan bek tengah berpengalaman, Giorgio Chiellini dan Leonardo Bonucci (gabungan usia 70 tahun, gabungan cap sebanyak 219) membantu membentuk kestabilan benteng.

Manakala Jorginho mengawal jentera tengah dan membiarkan pemain lain lebih kreatif untuk mendekati kotak penalti lawan.

Federico Chiesa yang selalu menyusup dari sayap, turut mampu mencetak jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 10:30 PM