MANCINI (kanan) bergelut dengan masalah kecederaan. FOTO Agensi
MANCINI (kanan) bergelut dengan masalah kecederaan. FOTO Agensi
AFP

Milan: Matteo Politano dan Gianluca Mancini akan terlepas perlawanan penting Itali di kelayakan Euro 2024 menentang Ukraine kerana mengalami kecederaan, kata persekutuan bola sepak negara itu.

Dalam satu kenyataan, Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) berkata penyerang Napoli, Politano dan pertahanan Roma, Mancini, masing-masing mengalami kecederaan betis dan paha semasa Itali seri 1-1 dengan Macedonia Utara.

Jurulatih, Luciano Spalletti, yang kehilangan penyerang Federico Chiesa dan pemain tengah Lorenzo Pellegrini akibat kecederaan sebelum perlawanan di Skopje, memanggil penyerang Bologna, Riccardo Orsolini.

Itali menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan C, tiga mata di belakang Ukraine – yang berada di tangga kedua selepas bermain lebih banyak perlawanan – dengan kedua-dua pasukan itu akan bertemu di San Siro di Milan pada awal pagi Rabu.

Ia adalah perlawanan penting bagi kedua-dua pasukan untuk merebut satu daripada dua tempat automatik ke Euro yang berlangsung di Jerman, dengan pendahulu, England memiliki kelebihan sembilan mata di hadapan juara Eropah itu.

Spalletti mengambil alih tugas membimbing Itali bulan lalu berikutan peletakan jawatan mengejut Roberto Mancini, yang kemudiannya mengambil alih pasukan kebangsaan Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 12:32 PM