PEMAIN Itali, Giacomo Raspadori (kanan) meraikan jaringannya. FOTO AP
PEMAIN Itali, Giacomo Raspadori (kanan) meraikan jaringannya. FOTO AP
AFP

Milan: Gareth Southgate berkata beliau akan menerima segala kritikan daripada penyokong England selepas skuad bimbingannya tewas sekali lagi di tangan juara Euro 2020, Itali awal pagi tadi sekali gus tersingkir daripada saingan Liga Negara-Negara.

Kekalahan 0-1 di San Siro hasil gol Giacomo Raspadori minit ke-68 menyebabkan England tanpa kemenangan daripada lima perlawanan dalam pertandingan itu dengan hanya berbaki satu perlawanan lagi sebelum mereka beraksi di Piala Dunia dekat Qatar.

England belum menjaringkan gol dalam permainan terbuka di Liga Negara-Negara musim ini dan Southgate dicemuh oleh sebahagian besar penyokong di tempat lawan dekat Milan selepas kekalahan yang menyebabkan mereka turun ke Liga B.

"Sangat sukar untuk mencari puncanya sebab kami tidak menjaringkan gol. Saya fikir kami berada di landasan yang betul.

"Kami masih mempunyai sentuhan seperti sebelum ini tetapi tidak mampu menjelmakannya dengan jaringan gol.

"Saya faham reaksi penyokong tetapi itulah keputusan yang kami perolehi dalam pertandingan ini dan ya, ia adalah reaksi yang boleh difahami," kata Southgate.

Southgate menegaskan beliau tidak kecewa dengan prestasi anak buahnya yang menyaksikan England bukan sahaja gagal menjaringkan gol tetapi bergelut untuk mencipta peluang walaupun mempunyai ramai penyerang berbakat seperti Harry Kane, Phil Foden dan Raheem Sterling.

"Agak sukar untuk saya mengkritik soal prestasi kerana pemain menguasai perlawanan dan banyak peluang tepat. Saya rasa untuk sebahagian besar permainan kami beraksi dengan sangat baik.

"Sudah tentu hanya keputusan akhir yang ingin diambil tahu oleh semua orang tetapi saya rasa kami sudah beraksi dengan baik," katanya.

Sementara itu jurulatih Itali, Roberto Mancini yang menyaksikan anak buahnya gagal beraksi di Piala Dunia tetapi memuji prestasi England.

"Anda berada di Piala Dunia dan ini adalah yang perkara paling penting. Bola sepak sememangnya sangat pelik.

"Pendapat saya ialah England adalah salah satu pasukan terbaik di dunia, mereka kalah dalam saingan ini tetapi saya fikir mereka boleh mempunyai peluang yang baik dalam Piala Dunia. Selepas itu Liga B tidak penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 7:36 AM