MINTAH penjaring terbanyak Liga Perdana dengan 16 gol. FOTO TFC
MINTAH penjaring terbanyak Liga Perdana dengan 16 gol. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah menjadi taruhan Terengganu FC II (TFC II) untuk merobek kubu Kuching City FC (KCFC) apabila kedua-pasukan bertembung dalam aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, petang esok.

Selain pendahulu penjaring terbanyak Liga Perdana itu dengan 16 gol, pengendali skuad itu, Badrul Afzan Razali turut mengharapkan dua lagi tonggak importnya, Dechi Marcel dan Masaki Watanabe mampu menjadi watak penting untuk membantu pasukan memburu kemenangan.

"Kita tiada pilihan kecuali perlu menang ke atas skuad kendalian Irfan Bakti untuk mengintai kedudukan kedua liga musim ini.

"Jadi persiapan rapi sudah dilakukan ke atas pasukan dengan kemungkinan besar barisan sama diturunkan ketika menewaskan Selangor FC 2, 4-1 sebelum ini.

"Ketiadaan pertahanan import dari Montenegro, Argzim Redzovic yang mengalami kecederaan ringan tidak sama sekali menjejaskan tumpuan kami untuk mengutip tiga mata dengan Mintah menjadi taruhan untuk merobek kubu lawan," katanya.

TFC II yang kini menghuni di tangga keempat liga mampu menamatkan saingan sekurang-kurangnya di tempat kedua sebagaimana musim lalu, namun dengan syarat perlu meraih kemenangan dalam baki dua perlawanan lagi.

Mengulas mengenai pembatalan Piala Cabaran dua musim berturut-turut, bekas arkitek Terengganu itu meluahkan rasa kecewa kerana impiannya untuk membawa pasukan menjulang trofi itu musim ini tidak kesampaian lebih-lebih lagi pada tahun pertamanya bersama skuad itu.

"Jika ikutkan memang kecewa lebih-lebih lagi kami sudah membuat perancangan dalam saingan itu, tapi kami terpaksa akur dengan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandangkan wabak pandemik Covid-19 masih lagi tinggi," katanya.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, skuad Penyu terikat 1-1 dengan The Cats menerusi jaringan Amirul Syazwan Nor Azmi manakala gol pelawat dijaringkan Mohd Hairol Mokhtar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 11:09 PM