SYAFIK (kanan) yang beraksi pada perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
SYAFIK (kanan) yang beraksi pada perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kemenangan sulung menumpaskan PDRM FC pada aksi Liga Super pada Sabtu lalu memberikan tonik berharga buat pemain sayap kiri lincah Terengganu FC (TFC), Syafik Ismail sebelum berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Khamis ini.

Pemain kelahiran Kampung Kubu, Marang itu bertekad mahu membantu pasukannya meneruskan rentak kemenangan kedua walaupun sedar laluan berliku bakal dilalui terutama beraksi di tempat lawan.

Syafik, 23 berkata, dia bagaikan tidak sabar untuk bermain pada perlawanan kelima menentang skuad Hobin Jang Hobin itu lebih-lebih lagi menyedari pasukannya kini mula mendapatkan rentak yang diinginkan.

Bagi memastikan impiannya tercapai, pemain yang sudah empat kali membuat penampilan bersama skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu akan berusaha keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama biarpun sebelum ini kerap diturunkan pada empat aksi terdahulu.

"Sasaran pasukan adalah untuk mendapatkan tiga mata yang sangat penting bagi memastikan kami berpeluang untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

"Namun sejujurnya perlawanan menentang Negeri Sembilan pastinya sukar lebih-lebih lagi mereka mahu kemenangan pertama selepas tiga perlawanan berakhir dengan dua kali seri dan sekali tewas selain pemain import dan tempatan mereka bagus.

"Justeru kita tidak akan mengambil mudah selain sudah bersedia untuk berdepan dengan skuad kendalian K Devan itu sambil mengharapkan rakan sepasukan terutama di bahagian serangan agar lebih tajam untuk merobek kubu lawan," katanya ketika dihubungi.

Pada aksi menentang skuad Sang Saka Biru di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, skuad kendalian Tomislav Steinbrukner berjaya melakar kemenangan dan gol pertama hasil jaringan tunggal pemain pertahanan import, Sardor Kulmatov pada minit ke-76 untuk pasukannya merakam kemenangan 1-0.

Berdasarkan rekod, TFC kini menghuni di tangga ketujuh liga dengan mengutip empat mata hasil empat perlawanan manakala Negeri Sembilan menduduki tangga kedua tercorot dengan mengumpul dua mata .

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 2:24 PM