DZEKO (tengah) mengakui bahawa Inter berhak mendapat keputusan lebih baik ketika menentang Real. FOTO AFP
DZEKO (tengah) mengakui bahawa Inter berhak mendapat keputusan lebih baik ketika menentang Real. FOTO AFP
AFP

Milan: Rodrygo menghukum Inter Milan yang gagal menyempurnakan beberapa peluang dengan meledak gol kemenangan 1-0 di San Siro untuk memberikan permulaan cemerlang buat Real Madrid dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL).

Inter yang juga juara liga Itali cuba untuk melangkah ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak 2011/12 namun mereka dihukum dengan melepaskan beberapa peluang sebelum Rodrygo menjaringkan gol pada minit akhir aksi Kumpulan D itu.

Ia keputusan yang sukar untuk diterima Inter berdepan pasukan bimbingan Carlo Ancelotti, yang kurang melakukan serangan walaupun sudah meledak 13 gol dalam empat perlawanan La Liga musim ini.

"Kami berhak untuk mendapat lebih lagi dari perlawanan ini tapi jika anda tidak menjaringkan gol, anda tidak mampu untuk mencatat kemenangan.

"Kami berhak meraih lebih dari ini, kami bermain baik berdepan pasukan yang hebat dan kami mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan. Ia sangat memalukan anda tumpas dalam perlawanan seperti ini," kata Edin Dzeko.

Bagaimanapun, Real tidak berada di tangga teratas kumpulan berkenaan kerana ia diisi Sheriff Tiraspol, yang menumpaskan Shakhtar Donetsk 2-0.

"Ia adalah perlawanan paling sukar dalam kumpulan ini. Inter terus mempamerkan rentak terbaik pada separuh masa pertama, manakala kami berjaya mengawal perlawanan dengan baik selepas rehat.

"Bagaimanapun, saya gembira dengan apa yang dipamerkan pasukan selepas berjaya bertahan dengan baik. Ia adalah petanda yang baik kerana mereka akan tahu bagaimana untuk berdepan saat sukar," kata Ancelotti

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 10:28 AM