CARLO Ancelotti. FOTO AFP
CARLO Ancelotti. FOTO AFP
AFP

Madrid: Barisan pemain bintang Real Madrid biasanya menjadi tajuk utama akhbar tetapi individu yang secara tenang memimpin satu lagi final Liga Juara-Juara (UCL) adalah jurulatih, Carlo Ancelotti.

Jika Real Madrid menewaskan Borussia Dortmund di Wembley pada Ahad ini, Ancelotti berpeluang menjadi jurulatih pertama menjulang trofi berprestij itu sebanyak lima kali.

Pengendali dari Itali itu muncul pengurus paling dihormati dalam sejarah kejohanan itu selepas pernah memenanginya dua kali bersama AC Milan pada 2003 dan 2007, dan kemudian dua kali bersama Madrid pada 2014 dan 2022.

Ancelotti sudah pun mengatasi rekod pengurus Liverpool, Bob Paisley dan Zinedine Zidane (Real Madrid) yang masing-masing pernah menjulang trofi itu sebanyak tiga kali.

Ancelotti memenangi pertandingan itu dua kali sebagai pemain bersama Milan, tetapi tugasan selaku pengendali mengangkatnya sebagai legenda.

Jurulatih itu, yang bakal berusia 65 tahun pada 10 Jun ini, menerima pujian daripada barisan pemainnya sendiri kerana sifat kepimpinannya yang tenang.

Ancelotti tahu bagaimana untuk memastikan pemainnya mempunyai matlamat sama, walaupun dalam saat sukar.

Contohnya penyerang Brazil, Rodrygo Goes mengharungi musim yang sukar di hadapan gawang gol tetapi Ancelotti sentiasa menyokongnya.

"Ada kalanya anda menjaringkan gol setiap kali anda menyentuh bola, dan ada kalanya anda banyak kali mencuba tetapi gagal," kata Ancelotti.

Dengan Ancelotti menyatakan keyakinannya, Rodrygo tidak panik dan akhirnya menemui semula sentuhan jaringannya.

Vinicius Junior seorang lagi pemain yang bergelut namun dengan bimbingan Ancelotti dia kembali menemui tahap terbaiknya pada masa yang tepat.

"Ia sudah diselesaikan. Dia mempunyai bakat hebat dan mempunyai kualiti hebat pergerakan tanpa bola," kata Ancelotti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 11:12 AM