RODRYGO (dua dari kanan) meraikan jaringan kedua pasukannya. FOTO AFP
RODRYGO (dua dari kanan) meraikan jaringan kedua pasukannya. FOTO AFP
AFP

London: Rodrygo menjaringkan dua gol bagi membantu Real Madrid mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara dengan agregat 4-0 selepas menewaskan Chelsea awal pagi tadi.

Skuad tuan rumah dengan Frank Lampard yang kembali sebagai jurulatih kali kedua beraksi di Stamford Bridge dengan prestasi yang tidak memihak mereka.

Chelsea bermula garang tetapi melepaskan beberapa peluang yang sepatutnya dapat memberi tekanan ke atas juara bertahan itu.

Gergasi Sepanyol itu menghukum ketumpulan penyudah Chelsea menerusi Rodrygo yang menjaringkan gol pendahuluan minit ke-58 hasil serangan balas pantas dan menjadikan kedudukan 2-0 sepuluh minit selepas itu. .

"Kami diasak namun bernasib baik kekal 0-0 pada babak pertama," kata pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti kepada BT Sport. "Babak kedua kami bertambah baik dan mendapat dua gol. Kami gembira mara ke separuh akhir."

Chelsea, juara Eropah 2021 kini tewas semua empat perlawanan sejak Lampard kembali ke kelab itu awal bulan ini selepas pemecatan Graham Potter.

Lampard yang turut mengendalikan kelab pada 2019 sehingga awal 2021 kecewa dengan kegagalan pemainnya menjaringkan gol.

"Kami beraksi dengan sangat baik dalam tempoh 60 minit," katanya. "Kami mencipta peluang tetapi anda perlu memanfaatkannya."

Bekas pemain tengah Chelsea itu berkata, skuadnya perlu mencari motivasi beraksi untuk kelab itu ketika mereka berusaha menamatkan musim dengan prestasi yang lebih baik.

"Anda bermain untuk Chelsea," katanya. "Jadi dalam setiap perlawanan anda perlu memberikan segalanya. Anda perlu tunjukkan sesuatu dan tidak boleh terus merosot."

Tanpa sebarang trofi musim ini, mereka menduduki tangga ke-11 dalam carta Liga Perdana Inggeris dan tampak sukar layak ke saingan Eropah musim depan.

Real Madrid pula dijangka menentang Manchester City pada separuh akhir selepas skuad Pep Guardiola berkelebihan 3-0 ke atas Bayern Munich susulan kemenangan aksi pertama suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 7:44 AM