SUAREZ (dua kanan) menjaringkan gol kemenangan di Nou Camp. — FOTO Reuters
SUAREZ (dua kanan) menjaringkan gol kemenangan di Nou Camp. — FOTO Reuters
AFP

LUIS Suarez menyumbat dua gol ketika Lionel Messi mencipta gol kemenangan Barcelona yang bangkit daripada ketinggalan sebelum mengalahkan Inter Milan 2-1 pada aksi menarik Liga Juara-Juara di Nou Camp, awal pagi tadi.

Lautaro Martinez meletakkan Inter di depan hanya selepas dua minit dan anak buah Antonio Conte, yang mantap ketika bertahan serta garang menerusi serangan balas pantas, kelihatan mampu melakar kemenangan bersejarah dalam Kumpulan F.

Namun Suarez mengatasi kedegilan benteng kelab Itali itu dengan voli menakjubkan sebelum sejam dan kemudian menyudahkan gerakan mengagumkan ciptaan Messi pada minit ke-84 bagi memastikan kemenangan.

Inter tidak pernah mengalahkan Barcelona di gelanggang lawan dalam Liga Juara-Juara tetapi bertindak baik bagi hampir keseluruhan perlawanan, terutama pada babak pertama apabila mereka patut menokok gol kedua.

MESSI (kiri) melepasi kawalan pertahanan Inter, Stefan de Vrij (kanan). — FOTO EPA
MESSI (kiri) melepasi kawalan pertahanan Inter, Stefan de Vrij (kanan). — FOTO EPA

Sebaliknya, dua penyerang berbisa Barca kembali membuktikan kewibawaan mereka, Suarez memecah kebuntuan ketika tuan rumah kelihatan buntu sebelum Messi, yang kembali daripada kecederaan, mengumpan kepada rakan serangannya bagi gol kedua.

Inter berdepan Juventus di laman sendiri Ahad ini, menghuni tangga teratas Serie A selepas menang semua enam perlawanan setakat ini dan menerusi persembahan awal pagi tadi, mereka patut pergi jauh di Eropah.

Barcelona patut bimbang dengan aksi timbal balik di San Siro Disember ini, yang mungkin menjadi penentu siapa muncul juara kumpulan itu.

“Ia tiga mata yang amat berharga,” kata Suarez. “Apabila anda pemain nombor 9, anda sering cuba membantu pasukan dengan gol dan bantuan gol. Kadang-kadang ia tidak menjadi, tapi saya sering kali bekerja keras. Tidak putus asa pada masa sukar.”

Conte berkata: “Ia agak memedihkan kerana kami berhak mendapat lebih daripada apa yang kami dapat. Tapi tahniah kepada Barca, bintang mereka (Suarez dan Messi) mengubah haluan perlawanan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 9:38 AM