PEMAIN Real Madrid bersorak selepas menang 3-1 ke atas Barcelona di Santiago Bernabeu. FOTO AFP
PEMAIN Real Madrid bersorak selepas menang 3-1 ke atas Barcelona di Santiago Bernabeu. FOTO AFP
AFP

Madrid: Juara bertahan, Real Madrid menewaskan Barcelona 3-1 pada aksi Clasico, sekali gus memintas musuh ketat itu di tangga teratas La Liga, semalam.

Karim Benzema membuka jaringan pada minit ke-12, sebelum Fede Valverde menjaringkan gol kedua dari luar kotak penalti sebelum rehat.

Ferran Torres merapatkan jurang buat Barcelona pada hujung perlawanan, tetapi Rodrygo mendapatkan sebelum menyempurnakan penalti bagi memastikan anak buah Carlo Ancelotti memberikan kekalahan pertama kepada Barcelona pada aksi domestik, musim ini.

Madrid menamatkan turut kemenangan berturut-turut dilakar Barca dalam liga dan menambah luka susulan aksi tidak menentu di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila di ambang penyingkiran di peringkat kumpulan.

Barcelona yang berbelanja besar untuk menyaingi pencabar utama itu, kini ketinggalan tiga mata, walaupun hanya dibolosi sekali dalam lapan perlawanan sebelum ini.

"Kami sedar akan berdepan kesukaran dalam perlawanan ini kerana mereka menggerakkan bola dengan baik, jadi selepas semua pemain kami berusaha lebih, bertahan dengan baik, barulah tugas menjadi lebih mudah," kata pemain tengah Madrid, Luka Modric kepada DAZN.

"Bahagian serangan kami memang meyakinkan, kami menjaringkan tiga gol dan saya gembira dengan prestasi pasukan. Saya fikir kami melalui perlawanan yang bagus."

Selepas hanya seri dengan Inter Milan yang menjejaskan peluang Barcelona di Eropah, Xavi membuat beberapa perubahan termasuk memasukkan Jules Kounde bagi menggantikan Gerard Pique.

Musim lalu, detik terbaik Barcelona berlaku di Bernabeu apabila anak buah Xavi menang besar 4-0, tetapi situasi jauh berubah pada kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 9:44 AM