PEMAIN Napoli bergaya benam Frosinone. FOTO/AFP
PEMAIN Napoli bergaya benam Frosinone. FOTO/AFP
AFP

MILAN: Bos Napoli, Carlo Ancelotti menyatakan pasukannya “bersedia menentang Liverpool” selepas memanaskan badan bagi aksi Liga Juara-Juara di Anfield awal pagi Rabu ini dengan kemenangan 4-0 ke atas Frosinone dalam Serie A, awal pagi tadi.

Piotr Zielinski membuka tirai jaringan hanya selepas tujuh minit di Stadio San Paolo buat Napoli dengan pemain Algeria, Adam Ounas menambah gol menakjubkan lima minit sebelum rehat, sebelum dua gol Arkadiusz Milik pada babak kedua.

Pasukan Ancelotti merapatkan jurang dengan Juventus kepada lapan mata selepas juara bertahan tujuh kali itu meneruskan rekod tanpa kalah mereka dengan kemenangan 1-0 ke atas Inter Milan, awal pagi semalam. Napoli enam mata di depan pasukan tangga ketiga Inter.

“Perlawanan seperti hari ini mempunyai semua rencah yang mampu memerangkap kami, terutama menjelang aksi Liga Juara-Juara,” kata Ancelotti, bekas bos Chelsea.

“Kami boleh mula memikirkan mengenai Liverpool sekarang.”

Penjaga gol Alex Meret meraih penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama selepas patah tangan berikutan perpindahan dari Udinese, dengan pemain tengah Amin Younes turut melakukan penampilan sulung dari bangku simpanan.

Pemain kebangsaan Algeria, Faouzi Ghoulam - bermain aksi pertama selepas lebih setahun susulan kecederaan lutut - mencipta kedua-dua gol Milik pada minit ke-68 dan 85.

“Pemain baru bertindak baik,” kata Ancelotti.

“Saya mendapat reaksi positif daripada setiap orang dan saya fikir pasukan ini sedia berdepan cabaran Selasa ini.

“Saya mempunyai memori indah di Anfield kerana saya turut memenangi Liga Perdana di sana bersama Chelsea.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 11:19 AM