SKUAD JDT sedang giat menjalani latihan. FOTO Johor Southern Tigers
SKUAD JDT sedang giat menjalani latihan. FOTO Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Tugas getir menanti juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam esok.

Ia ibarat ulangan aksi final 2019 yang menyaksikan skuad bimbingan Benjamin Mora berjaya menewaskan pasukan bimbingan Aidil Shahrin Sahak 2-0 pada aksi di Stadium Shah Alam.

Namun itu cerita lama dan pastinya debaran kian memuncak tatkala kedua-dua pasukan yang muncul juara dan naib juara Liga Super musim ini ditakdirkan berentap lagi.

Apapun, Mora tampak bersikap berhati-hati menentang skuad Lang Merah walaupun melakar pencapaian terbaik sepanjang saingan kumpulan selepas mengekalkan rekod tanpa kalah enam perlawanan pada aksi kumpulan piala berprestij itu.

"Laluan JDT ke saingan suku akhir walaupun tampak tidak berdepan masalah selepas melakar kemenangan dalam semua perlawanan pasti beri keyakinan dan motivasi bagi pemain.

"Untuk aksi suku akhir kami ditakdirkan menentang Kedah dan ia bukan tugas mudah.

"Apapun, kami akan turun dengan corak permainan yang lebih ampuh dan sudah melakukan penambahbaikan ke atas setiap posisi sama ada di posisi pertahanan, tengah dan serangan kerana ia penting untuk mengimbangi kekuatan KDA FC selain mengekalkan mentaliti kemenangan.

"Kedah adalah pasukan hebat dan kami sedar kekuatan mereka malah tidak boleh memandang rendah terhadap kemampuan pasukan itu kerana mereka memiilik gandingan serangan yang berbahaya iaitu Sherman dan Tcheche," katanya.

Sepanjang pertembungan JDT dan KDA FC pada musim ini, skuad bimbingan Mora melakar keputusan 100 peratus kemenangan apabila menang 2-0 pada aksi Piala Sumbangsih dan kemudian menang tipis 1-0 pada aksi pusingan kedua liga.

Namun di sebaliknya kemenangan yang dicapai pada saingan liga musim ini, Mora enggan mendabik dada tapi lebih bersikap berwaspada dengan penampilan KDA FC tatkala pasukan itu pasti mahu menebus kehampaan yang dialami apabila menentang skuad Harimau Selatan.

Mora juga enggan terlalu selesa apabila KDA FC terpaksa melupakan khidmat tengah dari Lubnan, Rabih Ataya dan pemain Singapura, M Anumanthan yang menyertai skuad kebangsaan masing-masing pada aksi di dalam kalendar Fifa.

"Kami tidak boleh anggap Kedah lemah selepas ketiadaan dua tonggak utama mereka malah pasukan itu dibarisi pemain berkualiti yang mampu beri ancaman kepada JDT dan kami tidak boleh terlalu selesa sebaliknya harus berhat-hati

"Untuk itu saya akan turunkan barisan pemain terbaik pada aksi menentang Kedah dan kami cuba membawa bekalan selesa ke Johor kerana ia penting bagi meneruskan momentum kemenangan dan sudah membuat persiapan di tahap maksima," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 1:09 PM