AIDIL Sharin mengingatkan pemain supaya lebih berwaspada dan berhati-hati dengan kekuatan ketara PJ City. FOTO Ihsan KDA FC
AIDIL Sharin mengingatkan pemain supaya lebih berwaspada dan berhati-hati dengan kekuatan ketara PJ City. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Tiga aksi kemenangan berturut-turut yang dicapai Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menjadi bekalan terbaik bagi meneruskan momentum apabila melayan kunjungan PJ City FC pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman malam esok.

Berbaki tiga perlawanan di laman sendiri bermula dengan aksi menentang PJ City kali ini bakal menyaksikan Sang Kenari perlu memastikan momentum kemenangan dapat dikekalkan sebelum aksi seterusnya menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC selepas ini.

Menurut Ketua Jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak, beliau mahu setiap pemainnya terus meningkatkan tahap mentaliti yang tinggi selepas aksi liga berehat dua minggu lalu bagi memastikan tahap konsisten pasukan dapat diteruskan.

"Kami perlu kekal fokus bagi meneruskan rentak kemenangan di laman sendiri seterusnya dan tidak boleh sesekali mengambil mudah diatas keselesaan selepas mengecapi tiga kemenangan lalu.

"Kami perlu mulakan aksi menentang PJ City ini dengan mentaliti yang kuat serta aksi yang meyakinkan sebelum dua lagi perlawanan di laman sendiri menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC.

"Jadi setiap kesempatan yang ada untuk aksi di laman sendiri ini perlu kami manfaatkan sepenuhnya kerana jika tidak, penyokong juga akan kecewa dan akan memberi kesan pada kehadiran ke stadium untuk perlawanan seterusnya menentang JDT seterusnya," katanya.

Tambah Aidil lagi skuadnya kali ini bakal turun tanpa kelibat tonggak import Mahmoud Al-Mardi yang tidak beraksi akibat penggantungan kad kuning.

"Memang Al-Mardi penting selama ini dan banyak membantu aspek serangan pasukan, namun kami juga memiliki perancangan berbeza kali ini dan mana-mana pemain gantian nanti juga memiliki peluang yang baik untuk menunjukkan kebolehan mereka lebih-lebih lagi untuk pemilihan pemain pada musim depan," katanya.

Di sebalik kelebihan beraksi di laman sendiri, Ketua Jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak turut mengingatkan pemainnya supaya tetap berwaspada diatas kemampuan skuad kendalian P Maniam itu yang boleh melakar kejutan selepas kali terakhir mengikat juara Piala FA musim ini Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan keputusan 2-2.

"Saya juga mahu mengingatkan pemain supaya lebih berwaspada dan berhati-hati dengan kekuatan ketara PJ City dengan rekod mereka menewaskan Selangor FC dan mengikat JDT pada perlawanan lalu, sudah pasti mereka mampu mencipta keputusan luar jangkaan dengan mana-mana pasukan sekalipun.

"Jadi pemain tidak boleh mengambil mudah pada aksi menentang PJ City ini terutama penyerang kebangsaan Darren Lok yang perlu diberi perhatian selain dua lagi pemain yang sering menghantar bola dalam membantu serangan iaitu Mahali Jasuli dan S. Kumaahran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 12:30 PM