Melaka United (MU) pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi. FOTO Facebook MU
Melaka United (MU) pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi. FOTO Facebook MU
Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Jurulatih Perak FC, Mohd Shahril Nizam Khalil mengakui amat kecewa selepas skuadnya tewas tipis 1-2 kepada Melaka United (MU) pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Katanya, dia, pemain dan semua pegawai amat kecewa dengan kekalahan terbabit selepas usaha habis-habisan diterjemah anak buahnya, namun keputusan itu menutup peluang kekal di Liga Super musim depan.

Apapun, dia berharap pemain bakal bangkit di pentas Liga Perdana 2022 untuk kembali bersaing di pentas Liga Super musim berikutnya.

Menurutnya, dia mengakui kehilangan 80 peratus pemain utama yang berhijrah kepada pasukan lain antara faktor prestasi tidak 'menjadi' musim ini tambahan pasukan bermain dengan barisan pemain muda yang kurang berpengalaman untuk bersaing di liga utama terbabit.

Bagaimanapun , dia melihat walaupun masih belum matang namun kualiti yang ada mampu menerbitkan kecemerlangan pasukan untuk kembali ke Liga Super .

"Pemain bermain dengan baik pada babak pertama dengan berjaya mendahului tuan rumah bagaimanapun mereka melakukan pada 45 minit kedua sehingga lawan meledak dua jaringan.

"Kehilangan fokus pada babak kedua menyebabkan Melaka bangkit mencuri kemenangan dalam perlawanan malam ini selepas pertahanan gagal menutup ruang bagi mengelak kubu dibocori," katanya.

Sementara itu, jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan berkata, dia gembira dengan tiga mata yang diperolehi kerana ianya amat penting untuk kekal di pentas Liga Super dan mara ke Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 3:11 PM