PEMAIN JDT, Corbin-Ong (tengah) diasak pemain Melaka United, Annas Rahmat pada perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat Krubong, semalam. FOTO Bernama
PEMAIN JDT, Corbin-Ong (tengah) diasak pemain Melaka United, Annas Rahmat pada perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat Krubong, semalam. FOTO Bernama
Nazri Abu Bakar


Melaka: Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora berpuas hati dengan persembahan pasukannya selepas membelasah Melaka 5-0 pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Hang Jebat Paya Rumput semalam.

Walaupun tanpa kelibat penyerang sensasi, Safawi Rasid yang menyertai kelab Portugal, Portimonense SC, skuad bimbingannya bermain pada tahap memuaskan untuk terus mencipta sejarah tanpa kekalahan sepanjang liga musim ini.

Bagaimanapun, dia melihat saingan tetap getir selepas Melaka bijak mempertahankan kubu mereka daripada dibocori sepanjang 70 minit perlawanan sebelum jaringan pertama JDT menerusi sepakan penalti.

Katanya, melihat bentuk cabaran tuan rumah sepanjang 45 minit pertama dia, melakukan perubahan taktikal pada pada kedua yang akhirnya terhasil lima jaringan.

"Perlawanan ini bukan sahaja untuk meraih kemenangan dalam masa sama untuk mencipta sejarah buat pasukan terutama menutup perlawanan liga dengan kemenangan dan meraikan kejayaan JDT merangkul kejuaraan liga untuk tujuh musim berturut-turut.

"Justeru pemain saya bermain cukup baik pada penghujung babak walaupun buruan jaringan tetap bermula pada awal babak perlawanan, namun kekentalan pertahanan tuan rumah berjaya menutup usaha jaringan pada babak pertama," katanya.

Malah dia turut memuji corak permainan skuad Hang Tuah yang juga memiliki beberapa serangan berbahaya pada 45 minit pertama.

Apapun, impian Melaka yang mahu sekurang-kurang kekal tanpa jaringan akhirnya musnah selepas benteng kental yang dibina roboh menerusi sepakan penalti Leandro Velazquez pada minit ke-70.

Empat gol lagi dihadiahkan menerusi jaringan Shafiq Ahmad pada minit ke-75 , Aidil Zafuan Abd Razak (m-78), Fernando Rodriguez (m-84) dan Leandro Velazquez (m-90) sekali gus membebaskan resah Mora selepas tentangan awal skuad tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 2:32 PM