PASUKAN PDRM akan beraksi di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PASUKAN PDRM akan beraksi di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Nazri Abu Bakar


PDRM tetap yakin mampu memberi cabaran kepada tiga pasukan pilihan dalam kumpulan B, Piala Malaysia walaupun skuad itu dilabel bukan pilihan untuk mara ke suku akhir.

Jurulatih PDRM, Mohd Fauzi Pilus, berkata kejutan masih mampu dilakukan terhadap FELDA United, PKNS dan Melaka United (MU) walaupun mereka memiliki banyak kelebihan, berbanding The Cops.

Katanya, di atas kertas sememangnya skuad terbabit dilihat sukar bersaing, namun tidak mustahil anak buahnya mampu untuk bertindak lebih baik untuk mengintai satu slot ke suku akhir.

"Selepas gagal ke Liga Super musim depan dengan sekadar meraih tangga kelima Liga Perdana, saingan berkenaan dilihat pentas terbaik buat pemain menebus kehampaan terbabit," katanya.

Mohd Fauzi yang mengambil alih tugas daripada Ketua Jurulatih, Zulhamizan Zakaria turut mengharapkan aksi di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebagai venue tuan rumah membawa tuah kepada skuad terbabit untuk melakukan kejutan.

"Kami pernah mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2016 di venue  berkenaan. Justeru tidak mustahil semangat itu bakal kembali walaupun hanya beberapa pemain yang kekal bersama skuad kali ini.

"Apa yang penting, pemain tidak terlalu menghormati kewibawaan tiga pasukan pilihan berkenaan. Mereka harus bersedia mempertahankan kubu, menguasai bahagian tengah dan menjaringkan gol.

"Fokus pertama berdepan PKNS di Paya Rumput Ahad ini menjadi keutamaan buat pemain untuk memastikan kutipan mata berharga dan penyerang diharap bijak mencuri jaringan dan benteng pertahanan kebal mengelak dibocori," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 9:27 PM