PEMAIN Perak Nazirul Naim Che Hashim (tengah) cuba mengawal bola sambil diasak dua pemain FELDA  Lucas Matias Cano (kanan) dan Muhammad Hadin Azman pada perlawanan Liga Super.
PEMAIN Perak Nazirul Naim Che Hashim (tengah) cuba mengawal bola sambil diasak dua pemain FELDA Lucas Matias Cano (kanan) dan Muhammad Hadin Azman pada perlawanan Liga Super.
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: “Pastikan tiada mata tercicir lagi andai mahu terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan,” itu kata-kata semangat ditiupkan pengendali FELDA United B Sathianathan kepada anak buahya yang akan turun berdepan T-Team di Kuala Terengganu, malam ini.

Menyedari misi yang kian sukar, dia berkata, pasukan itu tiada pilihan selain bangkit memastikan kemenangan ketika pasukannya kini berada di zon penyingkiran apabila sekadar menduduki tangga kedua tercorot di depan Pulau Pinang.

“Sudah pasti kami akan buat yang terbaik dalam baki perlawanan yang ada. Kami mahu menang semua.

“Kami mahu pastikan kedudukan kekal sekurang-kurangnya dalam Liga Super dan kerja-kerja itu sudah bermula dari sekarang. Kalau kami masih tercicir mata, mungkin ia mengganggu kami,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

The Fighters yang kini sekadar mengumpul lima mata daripada enam aksi perlu bangkit memperbaiki kedudukan mereka sekiranya berhasrat kekal dalam saingan divisyen satu itu.

Sathianathan yang baru mengambil alih pasukan selepas peletakan jawatan mengejut Azmi Mohamed menyaksikan naib juara Liga Super musim lalu itu terumbang-ambing dalam beberapa aksi mereka sebelum ini.

Tambah bekas pengendali kebangsaan itu, beliau tidak mahu anak didiknya mengulangi kesilapan sama ketika mengikat Perak khususnya pada babak pertama apabila barisan pertahanan mudah melepaskan dua gol sebelum bangkit selepas rehat.

“Semua pemain amat kecewa kehilangan dua mata. Bagaimanapun, saya sudah menasihati mereka supaya melupakan peristiwa itu dan terus memandang ke depan.

“Apa yang mustahak, pemain jangan leka terutama pada awal permainan dan jika dapat dielakkan saya percaya tiga mata boleh diraih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 8:14 AM