PEMAIN T-TEAM  Fauzi Abdul Kadar (tiga kanan) cuba menanduk di hadapan pintu gol sambil diasak pemain Melaka.
PEMAIN T-TEAM Fauzi Abdul Kadar (tiga kanan) cuba menanduk di hadapan pintu gol sambil diasak pemain Melaka.
myMetro

Kuala Terengganu: Skuad berstatus kelab T-Team terus dirundung malang apabila mudah diratah pasukan Melaka United 1-5 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.

Lebih memalukan kekalahan besar itu berlaku di depan penyokong sendiri dan sudah pasti memberi tamparan hebat buat pengendalinya, Rahmad Darmawan untuk memulihkan kembali prestasi pasukannya dalam misi untuk mengekalkan kedudukan dalam saingan Liga Super musim depan.

“Saya tidak sangka kekalahan ini boleh terjadi kerana pada babak pertama perlawanan kita beraksi dengan baik dan disiplin pemain juga bagus sehingga kita berjaya meledak jaringan pendahuluan hingga berakhir babak pertama.

“Bagaimanapun dengan kehilangan pemain import, Dilshod Sharofetdinov akibat mengalami kecederaan menimbulkan sedikit masalah di jentera tengah kerana kita tidak mempunyai pengganti yang mempunyai karektor yang baik di bahagian berkenaan.

“Tapi selepas itu saya cuba mengubah strategi dengan harapan ada pemain yang boleh menjadi penggerak di bahagian tengah itu, namun satu kesilapan yang dibuat oleh pemain kita sehingga dibolosi sekali gus meruntuhkan mental pemain.

“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana saya lihat pemain boleh bangkit semula selepas kesilapan gol pertama itu, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya,” kata Rahmad dengan nada kecewa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 11:04 AM