ARTETA mengakui sudah lama menantikan Aubameyang meledak jaringan. FOTO EPA
ARTETA mengakui sudah lama menantikan Aubameyang meledak jaringan. FOTO EPA
AFP

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui beliau sudah lama merindui gol jaringan ketua pasukan, Pierre Emerick Aubameyang dan akhirnya diubati dengan ledakan hatrik ketika mereka mengalahkan Leeds United 4-2.

"Sudah lama kami merindui gol Aubameyang dan dia berada pada tahap terbaik. Dia sudah kembali berlatih selepas berdepan saat sukar dengan masalah keluarga.

"Kami dapat merasakan dia mampu menjadi kunci utama dalam perlawanan ini. Dia memang mahu kembali beraksi, dia mahu membantu pasukan.

"Saya memang merasakan dia mampu menyerlah dan meletakkan pada posisi sepatutnya. Akhirnya dia berjaya menyelesaikan tugas berkenaan," kata Arteta.

Sementara itu, Aubameyang mengakui bahawa hatrik yang dilakukan sangat bermakna buat dirinya.

"Ia memang saat sukar buat saya. Semua orang memberikan sokongan kepada saya, ibu saya dan keluarga saya. Saya harus berterima kasih kepada semua orang di kelab dan penyokong," kata Aubameyang.

Sementara itu, pengendali Leeds, Marcelo Bielsa mengakui bahawa mereka sepatutnya menyekat Arsenal pada separuh masa pertama.

"Pada separuh masa pertama kami sepatutnya menghalang mereka daripada meledak tiga gol.

"Jika kami lebih teratur dalam mengawal perlawanan kami boleh menghasilkan keputusan yang berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 10:06 AM