AKSI JDT menentang TFC mencatat jumlah tontonan paling tinggi iaitu 698,341.
AKSI JDT menentang TFC mencatat jumlah tontonan paling tinggi iaitu 698,341.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pandemik Covid-19 jelas tidak menjejaskan populariti Liga Malaysia musim 2021 apabila mencatatkan sejumlah 21,814,979 penonton menyaksikan perlawanan siaran langsung yang disiarkan menerusi tiga platform yang disediakan.

Jumlah tontonan itu membabitkan siaran langsung perlawanan bermula aksi pertama Liga Super pada 5 Mac sehingga perlawanan ke-13 pada 9 Mei lalu sebelum saingan Liga Malaysia berehat dan akan kembali bersambung pada 24 Julai.

Turut menarik perhatian adalah rekod tontonan perlawanan di unifi Youtube yang direkodkan sehingga 30 Mei iaitu 49,838,140.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan, nilai statistik jumlah tontonan itu menerusi Sports Channel di unifi TV dan unifi PlayTV, unifi YouTube serta TV1 membuktikan Liga Malaysia masih kekal saluran sukan nombor satu kegemaran negara.

Ghani berkata, MFL dengan kerjasama penaja utama Telekom Malaysia (TM), potensi jumlah tontonan masih berupaya dipertingkatkan selaras minat rakyat terhadap sukan bola sepak pada masa akan datang.

Katanya lagi, MFL menghargai setiap pandangan khusus daripada penyokong bola sepak tempatan yang sentiasa memberikan sokongan teguh kepada industri bola sepak tatkala negara masih berdepan detik sukar dalam era pandemik Covid-19.

"Itulah angkanya iaitu 21,814,979 jumlah tontonan siaran langsung keseluruhan setakat ini di mana ia membabitkan 78 perlawanan yang menyaksikan jumlah jaringan terhasil sebanyak 202 gol.

''Apa yang menarik, kesemua video perlawanan Liga Super ditonton sebanyak 49,838,140 sehingga 30 Mei menerusi unifi YouTube. Statistik ini menunjukkan Liga Malaysia terutama Liga Super adalah produk terbaik kepada rakan-rakan penaja kami untuk komersialkan produk mereka.

"Namun begitu saya optimis melalui teknologi sedia ada seperti siaran langsung melalui unifi tv, unifi YouTube dan RTM, sokongan terhadap liga tempatan tidak akan sesekali luntur kerana bola sepak adalah sukan nombor satu negara," katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Sebagai rekod, siaran langsung perlawanan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Terengganu FC pada 10 Mei lalu mencatatkan jumlah tontonan paling tinggi setakat ini iaitu 698,341. Manakala siaran langsung bagi minggu ke-11 musim ini mencatatkan jumlah tontonan tertinggi sebanyak 2,307,698.

Sementara itu, mengenai perlawanan Liga Premier 2021, Ghani menjelaskan kesemua pasukan dibenarkan untuk membuat siaran langsung di laman media sosial atau platfom striming untuk baki perlawanan musim ini.

"Pihak MFL berharap ini membolehkan lebih peminat menyaksikan perlawanan dan juga dapat membantu kelab Liga Premier memberi pulangan komersial kepada penaja masing-masing," katanya dalam satu mesyuarat atas talian baru-baru ini bersama wakil kelab Liga Premier.

Selain jumlah tontonan menerusi Sports Channel di unifi TV & unifi PlayTV, unifi YouTube dan saluran TV1 RTM, penonton juga berpeluang untuk menyaksikan perlawanan di stadium apabila mendapat kebenaran kerajaan bermula pada perlawanan 2 April sehingga 9 Mei lalu di mana kebenaran itu ditarik semula akibat peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara. Sepanjang tempoh itu, sejumlah 62,318 penonton hadir ke stadium menyaksikan perlawanan Liga Super dan Liga Premier di mana kapasiti penonton dalam setiap perlawanan dihadkan mengikut kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 41 perlawanan Liga Super dan 10 perlawanan Liga Premier berlangsung dalam tempoh kebenaran itu dengan aksi Kedah Darul Aman FC menentang Terengganu FC pada 9 April di Stadium Darul Aman merekod kehadiran penonton tertinggi sebanyak 5,941.''

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 8:10 PM