STUART mengakui kehadiran penaja baru dan lama menjadi satu signifikasi yang sangat penting kepada industri bola tempatan Malaysia. FOTO NSTP
STUART mengakui kehadiran penaja baru dan lama menjadi satu signifikasi yang sangat penting kepada industri bola tempatan Malaysia. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan terdapat beberapa lagi penaja baharu yang akan diumumkan kelak untuk menjadi penaja saingan Liga Malaysia (Liga M).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, kehadiran penaja lama dan baharu memberikan satu isyarat positif kepada industri bola sepak tempatan yang cukup terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Katanya, untuk merancakkan lagi saingan serta meningkatkan nilai komersial liga, MFL melakukan perubahan format sepak mula pertandingan di mana pada musim ini sepak mula Liga Super dan Liga Perdana bermula tiga waktu berbeza iaitu jam 7.30 petang, 8.15 malam dan 9 malam.

"Pertama saya ingin mengucapkan selamat datang kepada penaja-penaja termasuk lama dan baharu. Sekali lagi saya ingin mengucapkan selamat datang unifi, Active Sports, Luno, Pos Malaysia, Proviton STR dan Uphamol dalam Liga Malaysia.

"Kehadiran penaja-penaja ini menjadi satu signifikasi yang sangat penting kepada industri bola tempatan Malaysia kerana kita semua mengetahui setiap pihak memainkan peranan cukup penting dalam komersialkan nilai Liga Malaysia.

"Malah, ada beberapa penaja baharu akan datang menyertai Liga Malaysia 2022 selepas ini. Sama-sama kita nantikan siapakah penaja baharu yang dimaksudkan nanti.

"Suka diumumkan juga bahawa musim ini kita mempunyai tiga format sepak mula berbeza dan sudah pasti format baharu sepak mula Liga Malaysia ini bakal memberikan manfaat bukan sahaja kepada penaja-penaja kami sebaliknya seluruh penyokong tempatan untuk menikmati perlawanan dengan waktu yang berbeza," katanya.

Stuart turut mengesahkan penyokong akan disajikan dengan siaran langsung semua perlawanan Liga Perdana musim ini menerusi platform media sosial YouTube MFL.

Katanya, siaran langsung Liga Super musim ini diteruskan menerusi platform rasmi unifi di saluran unifi Sports dan platform media sosial rasmi YouTube unifi.

"Demi kepuasan penyokong, MFL sedang berusaha mengelak isu teknikal stadium untuk menyiarkan siaran langsung semua 90 perlawanan Liga Perdana. Jika segala berjalan lancar MFL akan menyiarkan 90 perlawanan itu bagi memastikan kemeriahan Liga M dapat dinikmati semua penyokong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 10:15 PM