Pemain JDT meraikan jaringan ketika dalam salah satu aksi Liga M. FOTO JOHOR Southern Tigers
Pemain JDT meraikan jaringan ketika dalam salah satu aksi Liga M. FOTO JOHOR Southern Tigers
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Saingan Liga Malaysia (Liga M) 2021 terus 'laris' di platform Youtube apabila merekodkan 77,965,339 jumlah tontonan menerusi data yang dikumpul sehingga 20 September lalu.

Angka berkenaan meningkat jika dibandingkan 16,223,282 jumlah tontonan Liga Super musim lalu dengan hanya 66 perlawanan berlangsung disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan dalam tempoh pandemik Covid-19.

Berdasarkan data sehingga 20 September lalu, secara keseluruhan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi pasukan paling 'laris' di platform YouTube sebanyak 22,600,959 diikuti Kedah Darul Aman FC iaitu 15,901,863 dan Penang FC mencatatkan jumlah tontonan sebanyak 13,211,869.

Pertembungan JDT dengan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 17 Mac lalu menjadi tumpuan utama di platform YouTube dengan mencatatkan jumlah tontonan sebanyak 1,710,079.

Selain itu, aksi JDT bertemu Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 April lalu pula menjadi perlawanan kedua paling banyak tontonan dengan mencatatkan 1,684,922.

Diikuti aksi ketiga tertinggi jumlah tontonan iaitu Penang FC menentang JDT di Stadium Bandaraya pada 8 Mei 2021 dengan rekod 1,630,076.

Menurut Presiden Liga Bolasepak Malaysia Datuk Ab Ghani Hassan, data terbaharu jumlah tontonan perlawanan Liga Super di YouTube ada musim 2021 membuktikan bahawa Liga Malaysia masih dekat di hati peminat bola sepak tanah air serta mempunyai aura tersendiri.

"Sudah pasti ini satu angka yang cukup positif di mana perkembangan Liga Malaysia khususnya Liga Super 2021 terus diikuti peminat bola sepak di negara ini. Di sebalik pandemik Covid-19 yang melanda, saingan Liga Super terus rancak dan mendapat perhatian semua.

"Tidak lupa juga kepada semua penyokong yang terus memberikan sokongan kepada pasukan-pasukan dalam aksi Liga Super dan diharap sokongan ini berterusan bagi saingan Piala Malaysia yang kini menyambut ulang tahun ke-100," katanya.

Sementara itu, rekod tontonan siaran langsung menerusi tiga platform iaitu Sports Channel di unifi TV & unifi PlayTV, unifi YouTube dan saluran TV1 RTM (menerusi set top box unifi) pula menyaksikan tiga perlawanan membabitkan JDT mencatat jumlah tertinggi iaitu aksi menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei sebanyak 698,341 dan melawan Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman pada 4 Mei berjumlah 670,706.

Rekod tontonan siaran langsung ketiga tertinggi adalah aksi JDT menentang Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 17 Mac 2021 iaitu 651,295.

Perlawanan yang merekodkan gol terbanyak dalam satu perlawanan dalam kempen Liga Super 2021 membabitkan pertemuan Perak FC dan Penang FC dengan mencatatkan keputusan 3-5 sementara penyerang Selangor, Ifedayo Omosuyi muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 5:29 PM