Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo (kiri) dikawal pemain Inter Milan ketika beraksi dalam perlawanan Serie A yang lalu. FOTO AFP
Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo (kiri) dikawal pemain Inter Milan ketika beraksi dalam perlawanan Serie A yang lalu. FOTO AFP
AFP

Milan: Cristiano Ronaldo tidak memberikan apa-apa isyarat bahawa dia akan meninggalkan Juventus dan dijangka kembali ke Turin akhir bulan ini, kata pengarah kelab Pavel Nedved.

"Cristiano sedang bercuti. Kami tidak mendapat isyarat daripada wakilnya yang dia mahu keluar. Kami sedang menunggunya dan dia akan kembali sekitar 25 Julai mengikut jadual," kata Nedved ketika pengumuman mengenai perancangan musim 2021-2022.

Bintang skuad kebangsaan Portugal berusia 36 tahun itu mempunyai baki kontrak setahun bersama Juventus.

Masa depannya mula diperkatakan selepas kempen sukar yang menyaksikan Juventus kehilangan takhta Serie A selepas sembilan tahun dan tersingkir di kelompok 16 Liga Juara-Juara.

Juventus memulakan musim baharu menentang Udinese dengan Massimilano Allegri kembali sebagai pengendali selepas dipecat dua tahun lalu walaupun memenangi lima gelaran liga berturut-turut bersama kelab Turin itu.

"Ada corak tertentu dengan Allegri untuk lima tahun." kata Nedved.

"Kemudian dia bercuti dua tahun dan kembali dengan penuh semangat."

Nedved, bekas pemain kebangsaan Republik Czech, mengesahkan kelab berminat dengan pemain tengah Sassuolo, Manuel Locatelli selepas aksinya bersama juara Euro 2020 Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 8:47 AM