MASSIMILIANO Allegri.
MASSIMILIANO Allegri.
AFP

MASSIMILIANO Allegri menahan sebak ketika mendedahkan hari ini bahawa adalah keputusan Juventus untuk menamatkan kontrak lima tahunnya di mana beliau membawa kelab gergasi Serie A itu menjulang 11 trofi.

“Kami melihat kepada masa depan Juventus dan kelab memutuskan untuk beralih ke haluan baharu tahun depan tanpa saya,” kata jurulatih berusia 51 tahun itu di Stadium Allianz.

“Namun ia tidak mengubah apa-apa. Kami membesar bersama-sama dan ini adalah detik terbaik untuk meninggalkan kelab dengan cara terbaik.”

Juventus sudahpun merekodkan lapan gelaran berturut-turut yang juga kelima buat Allegri.

Beliau juga menjulang Coppa Italia empat kali sejak menggantikan Antonio Conte pada 2014 dan dua kali mara ke pusingan akhir Liga Juara-Juara.

Bekas pengendali AC Milan dan Cagliari boss yang mempunyai baki kontrak setahun lagi berkata beliau menerima keputusan kelab ketika cuba untuk tidak menangis di depan pasukannya yang duduk di barisan hadapan pada sidang media.

“Dalam kehidupan profesional, ada ketikanya kita harus berpisah,” kata beliau.

Perpisahan itu berlaku susulan laporan pertelagahan dengan lembaga pengarah termasuk bekas legenda Juventus Pavel Nedved dan Fabio Paratici mengenai haluan kelab selepas itu.

Biarpun membeli Cristiano Ronaldo dari Real Madrid musim panas lalu Bianconeri gagal melepasi suku akhir Liga Juara-Juara buat musim kedua berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 12:00 AM