AKSI persahabatan TFC (jersi hitam putih) bertemu Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi. FOTO Ihsan TFC
AKSI persahabatan TFC (jersi hitam putih) bertemu Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) asah taji dalam empat siri perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak menjelang Liga Super bersambung pada 24 Julai ini bertemu Perak.

Bermula dengan aksi menentang Penang FC malam tadi yang berkesudahan skuad Penyu bimbingan Nafuzi Zain itu tewas 0-2, TFC bakal menguji pasukan Liga Perdana, PDRM FC pada 14 dan 15 Julai ini sebelum mengakhiri aksi pemanas badan bertemu Kelantan United FC pada 18 Julai.

Pengurus TFC Zulfadli Rozi berkata, aksi persahabatan itu sebagai medan terbaik buat pemain untuk kembali mendapat rentak selepas lebih dua bulan liga berehat.

Menurutnya semua pemain akan diberi peluang beraksi dalam perlawanan pemanas badan itu memandangkan Piala AFC dibatalkan selain kali terakhir pasukan membuat penampilan dalam pentas kompetitif menentang Selangor pada 9 Mei lalu.

"Empat siri perlawanan persahabatan itu menjadi medan terbaik buat pemain termasuk pemain simpanan membuktikan kemampuannya selain memastikan tahap kecergasan mereka berada dalam keadaan terbaik sebelum aksi sebenar.

"Pada aksi pertama semalam menentang Penang FC lebih kepada mencuba kombinasi pemain baharu selain memberi minit perlawanan kepada mereka sebab kita nak pastikan semua pemain berada dalam keadaan bersedia, lagipun jadual liga nanti begitu padat dengan baki sembilan perlawanan lagi.

"Bagaimanapun kita berpuas hati walaupun tewas kerana yang penting pemain berjaya memperagakan aksi terbaik mereka, kita tidak mahu melihat keputusan dalam perlawanan itu, tapi lebih kepada kombinasi dan corak permainan mereka selepas lama berehat.

"Semalam kita tidak menurunkan pemain import, Makan Konate yang masih dalam tempoh kuarantin manakala tiga pemain tonggak, Muhammad Mohd Fauzi, Hakimi Abdullah dan penyerang, David Da Silva masih belum cergas sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 8:11 PM