AKHYAR rehat dua minggu akibat kecederaan dialami selepas dipukul dan disamun pada 2 Mei lalu. FOTO TFC
AKHYAR rehat dua minggu akibat kecederaan dialami selepas dipukul dan disamun pada 2 Mei lalu. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid bakal kembali menjalani latihan bersama pasukannya mulai esok.

Berita gembira buat peminat setia skuad Penyu itu dikongsi Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain hari ini.

"Pemain itu (Akhyar) sudah pulih daripada kecederaan kepala dan kaki yang dialaminya.

"Insya-Allah dia (Akhyar) akan menjalani latihan bersama rakan sepasukannya mulai esok (Selasa) selepas hampir dua minggu berehat.

"Kita harapkan pemain itu dapat fokus sepenuhnya ketika sesi latihan," katanya ketika dihubungi.

Kehadiran semula pemain pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sudah pastinya melegakan kem latihan pasukan dalam persiapan menjelang aksi kedua Liga Super berdepan Penang FC di tempat lawan pada 19 Mei ini.

Malah peminat setia skuad Penyu juga pastinya ternanti-nanti untuk melihat penampilan pertama sayap lincah kebangsaan itu selepas terlepas perlawanan pertama Sabtu lalu menentang Perak FC.

Terdahulu pada malam 2 Mei lalu, pemain yang lebih mesra dipanggil Mat Yat itu melalui detik ngeri selepas dipukul dan disamun sehingga menyebabkan dia menerima empat jahitan di kepala dan dua di kaki selain kerugian hampir RM5,000.

Susulan itu, pihak pengurusan TFC meningkatkan lagi kawalan keselamatan ketika sesi latihan dan perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak bagi mengelak perkara tidak diingini berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 5:21 PM