CHIESA kini pilihan Mancini. FOTO AFP
CHIESA kini pilihan Mancini. FOTO AFP
Agensi

London: Pada malam Selasa lalu, Itali dilihat bergelut di atas tekanan yang diberikan Sepanyol dalam aksi separuh akhir Euro 2020.

Meskipun demikian, Federico Chiesa muncul entah dari mana menerkam bola memecah kebuntuan dengan sepakan tajam untuk melepasi kawalan Unai Simon.

Pemain Juventus itu memulakan aksi di kejohanan itu sebagai pemain sayap pilihan kedua oleh Domenico Berardi, tapi berjaya disenaraikan dalam kesebelasan utama berikutan kejayaannya meledakkan gol pada waktu tambahan ketika menentang Austria pada pusingan kedua.

Bekas bintang Fiorentina itu kini menjadi watak penting dalam kesebelasan utama Roberto Mancini dan menjadi pemain utama untuk pasukan setiap kali Itali melakukan serangan balas.

Bekas penyerang Azzurri, Antonio Di Natale adalah peminat Chiesa dan dia menyatakan perkara itu ketika di temubual wartawan.

"Sekiranya Chiesa bukan pemain yang hebat, Juventus tidak akan melabur begitu banyak kepadanya. Hanya pada musim pertamanya di Turin dia menunjukkan apa yang sepatutnya.

"Manakala di Euro 2020, dia membuktikan bakatnya dengan menjadi satu daripada pemain terhebat dengan ledakan gol.

"Gol yang dijaringkan ketika menentang Sepanyol itu sungguh menakjubkan dan jarang berlaku. Dia adalah seorang pemain yang saya sangat suka kerana dia tidak dapat diramalkan.

"Dia boleh ke kanan, kiri untuk membuat tipu daya. Anda tidak akan tahu ke mana dia akan pergi," kata legenda Udinese.

"Selain itu dia seorang yang serius. Dia semakin matang dan kuat setiap hari, anda boleh lihat dia ingin bertambah baik setiap hari. Saya bermain bersama ayahnya yang juga seorang yang sangat baik.

"Namun saya tidak lihat dia bermain sebagai penyerang. Saya selalu mengatakan bahawa saya lebih banyak melihat Insigne untuk peranan itu kerana dia menunjukkan kematangan yang hebat.

Dia juga menjaringkan gol yang mengagumkan. Perkara hebat mengenai pasukan Mancini ialah satu atau dua pemain berbeza boleh meletup dalam setiap perlawanan."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 9:14 AM