Pemain Itali, Federico Chiesa diumumkan pemain terbaik perlawanan pada aksi separuh akhir hari ini. FOTO Agensi
Pemain Itali, Federico Chiesa diumumkan pemain terbaik perlawanan pada aksi separuh akhir hari ini. FOTO Agensi
Agensi

London: Penyerang Itali, Federico Chiesa berkata mereka tidak perlu risau mengenai pasukan mana yang akan ditentang pada final Euro 2020.

Chiesa meledak gol kedua kejohanan apabila dia memastikan negaranya mendahului pada aksi separuh akhir menentang Sepanyol sebelum Alvaro Morata menyamakan kedudukan pada babak kedua dan Itali memperoleh kemenangan 4-2 menerusi penentuan penalti di Wembley.

Skuad Azzurri antara pasukan yang menyerlah pada kejohanan itu bermula dengan kemenangan dalam perlawanan pembukaan ke atas Turki dan menang dalam cara berbeza ke atas Sepanyol, selepas aksi berlarutan sehingga 120 minit.

England atau Denmark menanti anak buah Roberto Mancini di Wembley pada Ahad, tetapi Chiesa berkata Itali akan memberi tumpuan kepada persiapan mereka sendiri.

"Kami perlu memikirkan mengenai diri kami selepas apa yang dilakukan setakat ini dalam kejohanan kerana ia adalah perkara yang membawa kami sejauh ini," katanya.

"Kami perlu memikirkan apa yang perlu dilakukan di atas padang selepas perlawanan esok membabitkan satu lagi separuh akhir.

"Denmark beraksi dengan intensiti tinggi dan sepanjang kejohanan ini mereka membuktikan antara pasukan hebat dan mereka mempunyai beberapa pemain berkualiti.

"England sudah membuktikan kelebihan permainan individu mampu membantu kemenangan.

"Mereka mempunyai beberapa pemain hebat di barisan belakang dan hampir semua sudut." kata bintang Juventus yang menyifatkan kemenangan pada aksi separuh akhir ke atas Sepanyol hari ini adalah antara malam terbaik sepanjang kariernya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 10:17 PM