Penyerang Belgium dan Inter Milan, Romelu Lukaku. FOTO AFP
Penyerang Belgium dan Inter Milan, Romelu Lukaku. FOTO AFP
AFP

Rome: Romelu Lukaku hampir pasti menandatangani kontrak bersama Chelsea dari Inter Milan dengan perjanjian dilaporkan bernilai 115 juta Euro (RM570.7 juta) menurut beberapa laporan di media Itali.

Chelsea memburu Lukaku sejak juara Eropah itu tidak dapat memenuhi hasrat mendapatkan Erling Braut Haaland dari Borussia Dortmund namun Inter menangguhkan usaha untuk membenarkan bintang penyerang mereka pergi.

Bagaimanapun, kini Inter bersedia melepaskan penyerang Belgium dengan bayaran yang hampir dengan rekod perpindahan kelab British hanya sehari selepas Manchester City melaburkan £100 juta (RM585.5 juta) untuk menandatangani pemain England, Jack Grealish dari Aston Villa.

Lukaku, yang membantu Inter menjulang kejuaraan Serie A - yang pertama mereka sejak 2010 - sebenarnya mahu kekal di Itali selepas menjadi pemain yang diminati peminat di bawah pengendali kelab itu, Antonio Conte.

Bulan lalu pemain berusia 28 tahun itu memberitahu saluran rasmi kelab itu Inter TV yang dia mahu "pencapaian lebih daripada tahun lalu" selepas menjaringkan 24 gol liga pada kempen 2020/21 dan diundi sebagai pemain terbaik musim itu.

Bagaimanapun laporan Gazzetta Dello Sport menyatakan Lukaku mengubah fikirannya dan mahu kembali ke Chelsea di mana selepas ditandatangani dari Anderlecht pada 2011, dia gagal memberikan impak dan bergelut memburu tempat dalam skuad utama yang turut membabitkan idolanya, Didier Drogba.

Stesen penyiar Itali, Sky Sport melaporkan Inter mahu mendapatkan penyerang Atalanta, Duvan Zapata dan Edin Dzeko untuk menggantikan Lukaku. Dzeko penyerang Bosnia hampir meninggalkan Roma untuk ke Milan pada Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 9:01 PM