REAKSI barisan pemain TFC pada saingan Liga Super sebelum ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
REAKSI barisan pemain TFC pada saingan Liga Super sebelum ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) akur dengan keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membatalkan saingan Piala AFC bagi Zon Asean Kumpulan H dan I.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Operasi Terengganu FC (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas meletakkan harapan yang tinggi agar kejohanan kedua paling berprestij di Asia itu dapat diteruskan selewat-lewatnya hujung tahun ni ataupun mengikut kalendar AFC.

"Walaupun berat hati menerima berita duka Piala AFC dibatalkan, kami tetap akur, namun kami harapkan ada keajaiban sambil mengharapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memainkan peranan agar saingan Piala AFC dapat diteruskan selewat-lewatnya hujung tahun ini," kata Mohd Sabri ketika dihubungi.

Beliau berkata, terdahulu Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberikan tempoh selama tiga hari untuk tidak membatalkan saingan itu jika ada negara yang menawarkan diri untuk menjadi tuan.

Bagaimanapun katanya, dengan tempoh yang begitu singkat itu tidak mungkin kejohanan itu dapat diteruskan dan yang pastinya saingan itu sudah dibatalkan.

"Lagipun kami baharu dapat surat daripada AFC melalui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memaklumkan kejohanan itu dibatalkan.

"Apa boleh buat, kecewa tu memang kecewa kerana kami sudah melakukan persiapan rapi untuk menghadapi kejohanan itu dengan pemilihan pemain selain perbelanjaan besar termasuk menjadi pasukan pertama dalam Liga Malaysia menjalani latihan secara 'camp based training', selepas kali pertama bersaing dalam piala itu pada 2012.

"Tapi kami harus terima kerana tidak ada negara yang menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah selain dunia masih lagi 'berperang' dengan wabak pandemik Covid-19," katanya.

Sebelum ini saingan Piala AFC bagi Kumpulan I yang turut dihuni wakil Singapura, Geylang International FC serta pemenang 'playoff' antara wakil Kemboja Visakha FC dan wakil Timor Leste, Lalenok United FC dijadualkan berlangsung di Singapura pada 30 Jun lalu.

Bagaimanapun negara Kota Singa itu membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan penarikan diri daripada menjadi tuan rumah berikutan kebimbangan situasi semasa wabak pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 9:21 PM