PEMAIN TFC dan T FC II bakal menamatkan latihan secara berpusat mulai esok. FOTO Ihsan TFC
PEMAIN TFC dan T FC II bakal menamatkan latihan secara berpusat mulai esok. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Susulan Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown' yang diumumkan kerajaan semalam berikutan kebimbangan peningkatan kes semasa wabak pandemik Covid-19, Terengganu FC (TFC) bakal menamatkan latihan secara berpusat di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin, Kuala Nerus pada esok.

Pengurusnya Zulfadli Rozi berkata, penamatan latihan secara berpusat itu adalah bagi mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan untuk membendung penularan wabak pandemik itu selain memberi ruang kepada pemain dan pegawai terbabit membuat persiapan sebelum pelaksanaan sekatan berkenaan yang bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

"Apabila kerajaan umumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Kuala Terengganu, kita menunggu kenyataan rasmi daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkenaan Prosedur Operasi Standard (SOP) latihan ketika tempoh itu sama ada latihan pusat ini boleh diteruskan atau sebaliknya.

"Tapi pengumuman Sekatan Pergerakan Penuh seluruh negara yang dikeluarkan semalam, pihak TFC perlu mematuhi arahan dan perlu menamatkan latihan secara berpusat di kem berkenaan pada tengah hari esok selain memberi ruang kepada pemain dan pegawai terbabit untuk membuat persiapan.

"Pada masa sama kita juga menunggu kenyataan rasmi daripada MFL tentang apa jua SOP latihan yang boleh dilaksanakan ketika tempoh sekatan itu," katanya dalam kenyataan rasmi pada hari ini.

Berhubung saingan Piala AFC selepas Singapura mengumumkan penarikan diri daripada menjadi tuan rumah, beliau mengharapkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dapat mengekalkan tarikh kejohanan berkenaan.

"Pengumuman Singapura menarik diri daripada menjadi tuan rumah sudah tentu memberi kesan kepada persiapan pasukan, tapi ini bukan bermakna kejohanan itu dibatalkan.

"Kami seboleh-bolehnya tidak mahu kejohanan itu ditangguhkan buat kali kedua pada tarikh lain kerana implikasinya juga membabitkan pertindihan dan perubahan jadual dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), jadi kita harapkan AFC dapat mengeluarkan kenyataan rasmi secepat mungkin dengan harapan yang tinggi jadual kejohanan itu dapat dikekalkan dan tuan rumah baharu dapat dikenal pasti oleh AFC," katanya.

Skuad kendalian Nafuzi Zain yang kini menghuni di tangga kedua Liga Super sebelum ini dijadualkan akan berlepas ke negara Kota Singa itu pada 20 Jun depan sebelum memulakan saingan pada 30 Jun.

Berdasarkan undian, skuad Penyu akan berdepan pasukan tuan rumah, Geylang International FC, Kaya FC-Iloilo (Filipina) serta pemenang 'playoff' antara Lalenok FC (Kemboja) dan Visakha FC dari Timor Leste di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 3:25 PM