SKUAD Korea Selatan antara pasukan pilihan di Piala Asia. FOTO KFA
SKUAD Korea Selatan antara pasukan pilihan di Piala Asia. FOTO KFA
Reuters

Seoul: Korea Selatan akan melancarkan bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2023 berikutan keputusan China menarik diri selaku tuan rumah, kata Persatuan Bola Sepak Korea (KFA), hari ini.

China sepatutnya menjadi tuan rumah kejohanan itu pada Jun dan Julai tahun depan tetapi usaha negara itu untuk mematuhi dasar sifar Covid-19 menyebabkan kejohanan membabitkan 24 pasukan itu perlu dianjurkan di negara lain.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membuka bidaan untuk menganjurkan Piala Asia 2023 bulan lalu dengan menyatakan pihak yang berminat mesti mengesahkan bidaan mereka selewat-lewatnya pada 30 Jun.

"Persatuan Bola Sepak Korea membida untuk menganjurkan Piala Asia AFC 2023 yang dihoskan oleh AFC di Korea," kata KFA menerusi kenyataan di laman web mereka.

"Oleh itu, kami ingin meneruskan permohonan bidaan daripada kerajaan tempatan yang mempunyai stadium yang boleh menganjurkan aksi antarabangsa."

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol menyokong penuh untuk menganjurkan kejohanan itu dan sudah mengarahkan menteri sukannya untuk memastikan mereka memperoleh hak penganjuran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 6:41 PM