JURULATIH Perancis, Didier Deschamps (tengah) melangkah kecewa selepas tersingkir di pusingan kedua Euro 2020 menerusi penentuan sepakan penalti dengan Switzerland di National Arena di Bucharest, semalam. FOTO AFP
JURULATIH Perancis, Didier Deschamps (tengah) melangkah kecewa selepas tersingkir di pusingan kedua Euro 2020 menerusi penentuan sepakan penalti dengan Switzerland di National Arena di Bucharest, semalam. FOTO AFP
AFP

Paris: Presiden Persekutuan Bola Sepak Perancis, Noel Le Graet, hari ini berkata, dia tidak fikir masa depan jurulatih, Didier Deschamps akan terkesan selepas Perancis tersingkir awal daripada Euro 2020, tetapi dia akan bercakap dengan jurulatih itu.

Le Graet ditanya ketika mesyuarat Jawatankuasa Olimpik Perancis sama ada kekalahan mengejutkan Perancis di tangan Switzerland menerusi sepakan penalti penentuan itu akan menyebabkan jawatan Deschamps terancam.

"Tidak, saya tidak fikir begitu," katanya. "Kami tidak akan mengeruhkan keadaan. Kami akan berbincang."

Deschamps masih ada kontrak sehingga akhir Piala Dunia 2022 di Qatar, apabila Perancis turun mempertahankan gelaran.

"Saya sedar kesukaran dalam bola sepak," kata Le Graet.

Hajat Perancis menambah gelaran Eropah selepas memenangi Piala Dunia 2018 berakhir dengan dramatik selepas seri 3-3, apabila Switzerland yang ketinggalan 1-3 bangkit menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki 10 minit.

Perlawanan kemudian diheret ke masa tambahan sebelum Perancis kecundang menerusi sepakan penalti penentuan.

"Ketika kami mendahului 3-1, saya fikir kami akan menang," kata Le Graet. "Sudah tentu saya sangat kecewa."

"Gagal layak ke suku akhir memang mengecewakan. Tetapi, orang akan mengatakan itu adalah liku-liku dalam bola sepak."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 11:44 PM