MBAPPE (kiri) bersama Deschamps ketika Perancis memenangi Piala Dunia 2018. -FOTO AFP
MBAPPE (kiri) bersama Deschamps ketika Perancis memenangi Piala Dunia 2018. -FOTO AFP
AFP

Paris: Kylian Mbappe menyelar komen "tidak hormat" yang dibuat oleh ketua Persekutuan Bola Sepak Perancis, (FFF) mengenai bekas pemain antarabangsa Zinedine Zidane dengan bintang PSG itu menyifatkan rakannya yang memenangi Piala Dunia itu sebagai 'legenda'.

"Zinedine Zidane, saya tidak akan menerima panggilannya melalui telefon," kata Presiden FFF Noel Le Graet dalam wawancara di radio Perancis apabila ditanya sama ada Zidane menghubunginya untuk menyatakan minat mengambil alih jawatan jurulatih daripada Didier Deschamps.

Kontrak Deschamps tamat selepas Piala Dunia Qatar di mana penyandang juara Perancis tewas kepada Argentina dalam penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir yang penuh mendebarkan pada 18 Disember lalu.

Bagaimanapun Deschamps menandatangani perjanjian baharu sehingga Piala Dunia 2026.

Di tanya sama ada Zidane yang memenangi Piala Dunia 1998 sebagai pemain bersama Deschamps dan naib juara pada 2006 bercakap dengannya beberapa hari kebelakangan ini, Le Graet menolak bekas jurulatih Real Madrid itu sebagai calon berpotensi.

"Saya tidak akan menerima panggilan telefonnya," kata Le Graet.

"Untuk memberitahunya apa? 'Hello encik, jangan risau, cari kelab lain, saya baru setuju kontrak dengan Didier'.

"Bagaimanapun, Mbappe, yang memenangi Piala Dunia 2018 bersama Perancis dan naib juara di Qatar, berang dengan nada Le Graet.

"Zidane pemain Perancis, kami tidak menghina legenda seperti itu," tulis penyerang Paris Saint-Germain di Twitter.

Bos FFF Le Graet, 81, turut memberi maklum balas ringkas kepada laporan mengenai minat Zidane melatih pasukan Brazil.

"Saya akan terkejut jika dia pergi ke sana," katanya.

"Dia melakukan apa yang dia mahu, ia tidak membimbangkan saya. Saya tidak pernah bertemu dengannya dan kami tidak pernah terfikir untuk berpisah dengan Didier Deschamps.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 9:44 AM