MORATA (tengah) gagal menjaringkan gol untuk Sepanyol pada perlawanan hari ini. FOTO AFP
MORATA (tengah) gagal menjaringkan gol untuk Sepanyol pada perlawanan hari ini. FOTO AFP
AFP

Seville: Pertahanan Sepanyol, Aymeric Laporte mempertahankan Alvaro Morata selepas penyerang itu diejek penyokong sendiri ketika mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dengan Sweden, hari ini.

Morata terlepas peluang terbaik pada separuh masa pertama dan kemudian menerima ejekan penyokong Sepanyol di Seville selepas dikeluarkan ketika permainan berbaki 25 minit.

Luis Enrique memilih Morata berbanding tonggak Villarreal, Gerard Moreno yang menjaringkan 23 gol pada saingan La Liga musim lalu, kedua terbanyak di belakang Lionel Messi.

"Tidak perlu meragui kemampuan penyerang seperti Morata," kata Laporte.

"Kami tahu apa yang boleh dilakukannya. Benar, situasi tidak memihak kepadanya hari ini tetapi pada perlawanan seterusnya dia boleh menjaringkan tiga gol dan menutup mulut orang ramai.

"Harap ia berlaku dan kami sememangnya perlu menang pada perlawanan seterusnya."

Keputusan seri itu mengecewakan untuk Sepanyol yang bakal merasai tekanan menjelang perlawanan seterusnya bertemu Poland yang tewas 1-2 kepada Slovakia pada perlawanan terdahulu Kumpulan E.

"Jika kami beraksi 10 perlawanan seperti ini, kami akan memenangi sembilan daripadanya. Tetapi kali ini tidak memihak kepada kami.

"Kami terlepas peluang dan mungkin satu hari nanti dapat menjaringkan lima gol. Kami tidak berasa bimbang kerana mempunyai barisan pemain hebat yang mampu menjaringkan gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 6:21 AM