PENYERANG Poland, Robert Lewandowski (kiri) meraikan jaringannya. FOTO AFP
PENYERANG Poland, Robert Lewandowski (kiri) meraikan jaringannya. FOTO AFP
AFP

Seville: Kegagalan Gerard Moreno menyempurnakan sepakan penalti disusuli Alvaro Morata mensia-siakan peluang menyaksikan Sepanyol terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1 ketika bertemu Poland sekali gus berdepan tugas sukar untuk melangkah ke pusingan kalah mati.

Sepanyol sebelum ini turut meraih keputusan seri 0-0 ketika bertemu Sweden pada perlawanan pertama.

Morata meletakkan Sepanyol di depan namun tandukan Robert Lewandowski yang juga gol ke-60 dijaringkannya musim ini, menyaksikan Poland berjaya menyamakan kedudukan sebelum sepakan penalti Moreno terkena palang gol.

Morata mempunyai peluang terbaik untuk menambah gol selepas bola terus meluru ke arahnya ketika gawang gol terbuka luas namun sepakannya tersasar.

Keputusan itu sekali gus mengecewakan Sepanyol dan mereka perlu menewaskan Slovakia pada perlawanan terakhir Kumpulan E untuk mengelak daripada tersingkir awal.

Sementara itu Poland mempamerkan aksi cemerlang di atas padang dengan Lewandowski terus menghidupkan peluang mereka untuk melangkah ke pusingan kalah mati.

Pengendali Sepanyol, Luis Enrique sebelum ini menyatakan akan memperkuatkan benteng pertahanan untuk membolehkan Morata mencari ruang meledak gol dengan menyatakan taktikal pasukan itu adalah 'Morata serta 10 yang lain'.

Bagaimanapun dia turut menggantikan Ferran Torres dengan Moreno yang muncul penjaring kedua terbanyak bersama Villarreal dengan 23 gol di belakang Lionel Messi pada saingan La Liga.

Namun Moreno dan Morata gagal mempamerkan aksi terbaik di bahagian serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 5:54 AM