NAGELSMANN (kanan) sedia untuk bangkit semula di Piala Dunia. FOTO Reuters
NAGELSMANN (kanan) sedia untuk bangkit semula di Piala Dunia. FOTO Reuters
AFP

Stuttgart: Tuan rumah, Jerman yang tersingkir dari Euro 2024 di peringkat suku akhir di tanah air mereka, masih boleh dipuji kerana sekurang-kurangnya Julian Nagelsmann mengembalikan kepercayaan kepada peminat selepas satu dekad yang sukar.

Jerman memulakan pengembaraan di Euro 2024 selepas dua kali tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia selain ditumpaskan England dalam saingan 16 terakhir pada edisi Euro sebelum ini.

Walaupun kekalahan di masa tambahan pagi tadi kepada Sepanyol di Stuttgart yang menafikan peluang tuan rumah meraikan persaraan Toni Kroos dengan meraih gelaran, Jerman membuktikan bahawa mereka sekali lagi mampu bersaing menentang pasukan terbaik.

Penjaga gol veteran Jerman, Manuel Neuer menulis di media sosial 'impian sudah hancur dan lebih pahit, kerana pasukan layak mendapat lebih daripada itu'.

Selepas bercakap dengan berlinang air mata di tepi padang sebaik perlawanan tamat, Nagelsmann cuba mengalihkan fokus Jerman untuk saingan akan datang.

"Adalah sedih bahawa saya mungkin tidak akan menjadi sebahagian daripada juara Euro di tanah air lagi dalam kerjaya saya," kata jurulatih itu.

"Memang pedih. Terpaksa menunggu dua tahun untuk menjadi juara dunia, itu juga pedih. Anda suka kenyataan itu, kan?.

"Apa lagi yang patut saya katakan selepas kami tersingkir? Sudah tentu, kami mahu menjadi juara dunia," katanya.

Kenyataan penuh keyakinan Nagelsmann adalah bertentangan jauh dengan pengendali sebelum ini, Hansi Flick selepas Jerman tersingkir daripada peringkat kumpulan di Piala Dunia di Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 7:31 PM