RONALDO meledakkan gol ke-109 untuk menyamai rekod jaringan terbanyak Ali Daei. FOTO AFP
RONALDO meledakkan gol ke-109 untuk menyamai rekod jaringan terbanyak Ali Daei. FOTO AFP
AFP

Budapest: Cristiano Ronaldo meledakkan gol ke-109 buat Portugal pada perlawanan Euro 2020 menentang Perancis untuk menyamai rekod jaringan terbanyak antarabangsa penyerang bekas penyerang Iran, Ali Daei.

Ronaldo, 36, mendahului senarai penjaring terbanyak Kejuaraan Eropah, menyempurnakan dua sepakan penalti di Budapest untuk menyamai rekod itu pada penampilan ke-178 di peringkat antarabangsa.

Ronaldo adalah pemain pertama yang beraksi di lima edisi kejohanan itu dan menjaringkan lima gol dalam tiga perlawanan Kumpulan F.

Penyerang Juventus itu kini meledakkan 14 gol di Kejuaraan Eropah, lima gol lebih dari penyerang Perancis Michel Platini yang menjaringkan sembilan gol ketika dia mengetuai Perancis merangkul kejayaan pada 1984.

Ronaldo meledakkan gol pertama di peringkat antarabangsa ketika mereka tewas 1-2 kepada Greece di Euro 2004 yang berlangsung di Portugal yang mana mereka turut tewas kepada Greece 1-0 di final.

Daei yang dikenali sebagai 'Shariar' (Raja dalam bahasa Parsi) meledak 109 gol dalam 149 penampilan bersama Iran antara 1993 dan 2006, satu rekod yang dilihat tidak akan dipecahkan.

Bagaimanapun, dia beberapa kali menyatakan 'gembira' jika Ronaldo dapat memecahkan rekodnya, selain percaya penyerang Juventus itu adalah antara tiga pemain terbaik dalam sejarah bola sepak bersama Lionel Messi dan Diego Maradona.

"Rekod dibuat untuk dipecahkan," kata Daei kepada agensi berita Khabar Online pada 2018.

"Ronaldo sememangnya mempunyai kualiti untuk melakukannya. Saya begitu menghormatinya. Dia adalah pemain hebat yang tidak perlu diberikan pujian."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 6:04 AM