GAMBAR kombinasi penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo (kiri) dan penyerang Jerman, Thomas Mueller menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada Sabtu ini. FOTO AFP
GAMBAR kombinasi penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo (kiri) dan penyerang Jerman, Thomas Mueller menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada Sabtu ini. FOTO AFP
AFP

Munich: Jerman berhasrat menutup mulut Cristiano Ronaldo, Sabtu ini dengan cara skuad tuan rumah itu menewaskan juara bertahan, Portugal dalam usaha menghidupkan peluang pada kempen Euro 2020.

Selepas tewas perlawanan pembukaan 0-1 kepada Perancis, Selasa lalu akibat gol sendiri Mats Hummels, Jerman memerlukan kemenangan dalam Kumpulan F itu dan menyekat Ronaldo mencipta rekod jaringannya.

Bintang Portugal itu kini memegang rekod 11 gol dalam lima Kejuaraan Eropah disertainya apabila menjaringkan dua gol ketika pasukannya menang 3-0 ke atas Hungary di Budapest.

Ronaldo kini menjaringkan 106 gol daripada 176 aksi untuk Portugal dan kurang tiga gol berbanding rekod jaringan terbanyak antarabangsa Ali Daei, yang menjaringkan 109 gol untuk Iran antara 1993 hingga 2006.

Penyerang Juventus itu gagal membolosi Jerman dalam empat perlawanan sebelum ini, termasuk aksi terakhir apabila Portugal tewas 0-4 di Piala Dunia 2014.

Jerman sudah pasti mahu mengecewakannya sekali lagi di Allianz Arena di Munich.

"Saya tidak melihat video jaringan terbaiknya," kata bek tengah, Matthias Ginter, yang bakal ditugaskan mengawal Ronaldo, ketika ditemui di kem latihan Jerman di Bavaria, hari ini.

"Saya beberapa kali menentangnya ketika bersama Dortmund.

"Dia masih antara penyerang terbaik di dunia dan kini sudah menjaringkan dua gol, jadi anda perlu berwaspada. Tetapi, kami sudah bersedia untuk menentangnya."

Bagaimanapun, pemain Jerman sedar bukan Ronaldo saja ancaman daripada skuad Portugal itu.

Penyerang Eintracht Frankfurt, Andre Silva menjaringkan 28 gol di Bundesliga, musim lalu dan kini antara tonggak penting dalam skuad berkenaan yang memiliki ramai pilihan penyerang.

"Akan menjadi satu kesilapan jika fokus kepada Cristiano Ronaldo semata-mata," kata Ginter kerana baginya trio yang beraksi di Liga Perdana Inggeris iaitu Bruno Fernandes, Diogo Jota dan Bernardo Silva turut berpeluang memastikan kemenangan Portugal.

Ginter berkata, mereka tidak sabar meningkatkan tempo permainan dan menyerang Portugal, selepas analisis perlawanan dengan Perancis sebelum ini menunjukkan mereka ada ruang menyerang, tetapi terlalu perlahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 10:06 PM