JURULATIH Denmark, Kasper Hjulmand (kanan) berbual dengan Simon Kjaer ketika sesi latihan menjelang perlawanan dengan Russia, hari ini. FOTO AFP
JURULATIH Denmark, Kasper Hjulmand (kanan) berbual dengan Simon Kjaer ketika sesi latihan menjelang perlawanan dengan Russia, hari ini. FOTO AFP
AFP

London: Walaupun tewas dua kali sebelum ini, Denmark masih belum mengalah dan mahu membenam Russia di Copenhagen, hari ini untuk mengintai tempat ke pusingan kalah mati Euro 2020.

Manakala Austria dan Ukraine akan berentap di Bucharest untuk cuba mara, pada ketika Belanda sudah layak dari Kumpulan C.

Denmark kalah 0-1 kepada Finland pada perlawanan pembukaan Kumpulan B, yang dibayangi insiden Christian Eriksen rebah di padang kerana jantung terhenti dan kemudian tewas 1-2 kepada Belgium pada perlawanan penuh emosi apabila pemain dan penyokong menyatakan sokongan kepada pemain tengah itu.

Bagaimanapun, juara Eropah 1992 itu mampu menduduki dua tempat terakhir jika menewaskan Russia manakala Belgium yang sudah layak, menewaskan Finland dan mereka mengharapkan sokongan 25,000 penyokong di Copenhagen.

"Kami bersedia untuk ke luar ke stadiaum Parken dan mencipta malam ajaib, seperti kempen Euro kami baru bermula sekarang," kata jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand.

"Kami belum mengalah. Kami berdepan permulaan sukar dan bermula semula sekarang. Kami bersedia melepasi peringkat kumpulan dan bermain lebih banyak perlawanan."

Kemenangan dengan dua gol atau lebih sudah memadai buat mereka sekiranya Finland tewas.

"Ia akan membawa makna besar, selepas apa yang kami lalui sebelum ini, saya fikir kami berhak mara," kata kapten Denmark, Simon Kjaer.

Bintang Inter Milan, Eriksen sudah keluar dari hospital selepas pembedahan masukkan alat bantuan jantung dilaksanakan dengan jayanya.

Tetapi, Russia bersedia menghampakan tuan rumah dan satu mata sudah memadai untuk menduduki tempat kedua kumpulan sekiranya Belgium menewaskan Finland.

Belgium yang dibimbing Roberto Martinez selaku pasukan nombor satu dunia, belum sah menduduki dua tempat teratas, tetapi keputusan seri menyaksikan mereka muncul juara kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 8:18 PM