KASPER Hjulmand mahu pemain pamer aksi terbaik. FOTO AFP
KASPER Hjulmand mahu pemain pamer aksi terbaik. FOTO AFP
AFP

Copenhagen: Jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand berkata beliau kini sedang bersiap untuk kembali dengan penuh emosi ke Stadium Parken Copenhagen menentang Belgium selepas berdepan trauma insiden membabitkan Christian Eriksen.

Eriksen yang juga perancang utama pasukan jatuh di Parken terpaksa diberi bantuan selepas tiba-tiba jatuh di dalam padang pada separuh masa pertama yang menyaksikan Denmark tewas 0-1 kepada Findland, Sabtu lalu.

Mereka akan turun berdepan pendahulu kumpulan B Belgium dan berharap dapat memulakan kempen Euro 2020 dalam apa yang diharapkan Hjulmand akan berjalan lancar.

"Ia akan menjadi sangat emosional apabila kembali ke Parken, kami mengharapkan sokongan luar biasa daripada peminat kami dan dari seluruh negara," kata Hjulmand.

"Kami bersedia untuk itu dan akan menggunakan seluruh tenaga dengan cara yang positif.

"Sesuatu yang tidak masuk akal, hospital di mana Christian berada sekarang tidak jauh dari stadium dan dia mungkin dapat mendengar semua yang berlaku di sana.

Sekiranya Eriksen mendengar apa-apa ia mungkin daripada 25,000 peminat yang menyokong Denmark yang turun menentang pasukan terbaik dunia yang memulakan kempen dengan kemenangan 3-0 ke atas Russia.

"Kami akan memanfaatkannya (penonton), kami akan menggunakan ia sebagai motivasi tambahan untuk memberi kelebihan kepada kami," kata Hjulmand.

"Kami akan mempamerkan aksi terbaik dan setiap pemain perlu beraksi pada tahap terbaik secara individu dan itulah yang kami akan cuba lakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 1:03 AM