BARISAN pemain Denmark sedang menjalani latihan. FOTO AFP
BARISAN pemain Denmark sedang menjalani latihan. FOTO AFP
Agensi

St Petersburg: Denmark bertekad untuk mara ke pusingan kalah mati Euro 2020 dengan melakar kemenangan ke atas Russia pada perlawanan terakhir Kumpulan B awal pagi Selasa selepas pulih daripada insiden membabitkan Christian Eriksen.

Di sebalik tewas 1-2 kepada Belgium yang kembali diperkuatkan oleh Kevin de Bruyne, sokongan terhadap Eriksen yang rebah di atas padang kerana jantungnya terhenti ketika bertemu Finland pada perlawanan pertama sangat luar biasa.

Pengurus Denmark, Kasper Hjulmand berharap anak buahnya dapat menewaskan skuad bimbingan Stanislav Cherchesov untuk Eriksen yang selamat menjalani pembedahan.

Pemain tengah Denmark itu dibenarkan untuk keluar hospital semalam, enam hari selepas rebah ketika tewas kepada Finland.

Meskipun beraksi di halaman sendiri, Russia masih gagal menyamai aura mara ke suku akhir Piala Dunia 2018.

Russia tidak pernah melangkah ke pusingan kalah mati kempen Euro sejak 2008. Kemenangan 1-0 mereka ke atas Finland adalah yang pertama sejak 2012.

Denmark yang menduduki tempat tercorot Kumpulan B dengan dua kekalahan berharap dapat melakukan serangan awal ke arah benteng Russia dengan Mikkel Damsgaard menggantikan Eriksen manakala Martin Braithwaite menunjukkan kualiti sebenar ketika bertemu Belgium.

"Kami akan melepasi peringkat kumpulan. Dengan barisan pemain sedia ada, tiada had," kata Braithwaite selepas tewas di tangan Belgium.

Untuk meraih kedudukan kedua, Denmark perlu menewaskan Russia dengan dua jaringan atau lebih sambil mengharapkan Belgium menewaskan Finland.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 1:23 PM