BARISAN pemain Finland masih mengingati insiden membabitkan Eriksen (kanan). FOTO EPA
BARISAN pemain Finland masih mengingati insiden membabitkan Eriksen (kanan). FOTO EPA
Agensi

Saint Petersburg: Tragedi yang hampir meragut nyawa Christian Eriksen membayangi kemenangan 1-0 Finland ke atas Denmark, Ahad lalu namun mereka kini berada di landasan tepat untuk melangkah ke pusingan kalah mati jika dapat menewaskan Russia, esok.

Finland sedar kemenangan di Saint Petersburg akan menyaksikan mereka mengumpul enam mata penuh sekali gus bakal melangkah ke pusingan seterusnya dari Kumpulan B.

Untuk meraih peluang itu, Finland perlu melakukan apa yang sudah sekian lama tidak dilakukan iaitu menewaskan Russia.

Kali terakhir Finland menewaskan Russia adalah pada Sukan Olimpik 2012 ketika Finland masih di bawah penguasaan Russia.

Selepas itu, Russia memenangi kesemua empat pertemuan dengan Finland dan hanya melepaskan satu gol.

Tandukan Joel Pohjanpalo ketika bertemu Denmark memberi kemenangan kepada Finland yang kini menduduki tangga kedua di belakang Belgium namun perlawanan pertama mereka di kejohanan utama dibayangi dengan insiden membabitkan Eriksen.

Perancang Denmark itu mengalami situasi jantung terhenti di atas padang namun tindakan pantas rakan sepasukan serta kakitangan perubatan berjaya menyelamatkan nyawanya.

"Ia mengubah pemikiran kami. Apa yang berlaku di atas padang adalah sesuatu yang lebih penting berbanding bola sepak," kata kapten Finland, Tim Sparv.

Penyerang Teemu Pukki yang menjaringkan 10 gol pada kempen kelayakan, dilihat sudah kembali pulih sepenuhnya selepas berdepan kecederaan buku lali sekali gus memberi tonik tambahan kepada Finland untuk meraih tiga mata penuh apabila bertemu Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 1:02 PM