JURULATIH Denmark, Kasper Hjulmand (kiri) meraikan kejayaan mara ke pusingan kalah mati bersama barisan pemainnya. FOTO AFP
JURULATIH Denmark, Kasper Hjulmand (kiri) meraikan kejayaan mara ke pusingan kalah mati bersama barisan pemainnya. FOTO AFP
AFP

Copenhagen: Denmark berjaya melangkah ke pusingan 16 terakhir Euro 2020 selepas mencatat kemenangan meyakinkan 4-1 ke atas Russia hari ini serta dibantu kejayaan Belgium mengatasi Finland.

Selepas tiga perlawanan, Denmark menduduki tangga kedua Kumpulan B.

Gol sumbangan Mikkel Damsgaard, Yussuf Poulsen, Andreas Christensen dan Joakim Maehle menyaksikan Denmark melakar kemenangan pertama di kejohanan itu pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Parken dekat Copenhagen.

Penyokong bersorak gembira apabila Denmark terus meledak gol untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan bergaya selepas berdepan trauma insiden Christian Eriksen yang rebah di atas padang pada perlawanan pertama bertemu Finland.

Denmark akan bertemu Wales pada pusingan kalah mati di Amsterdam.

Mereka turun pada perlawanan terakhir hari ini tanpa sebarang mata daripada dua perlawanan pertama namun menyedari kemenangan ke atas Russia dengan dua gol atau lebih serta kekalahan Finland di tangan Belgium akan memastikan tempat ke pusingan kalah mati.

Penyokong Denmark terus menyatakan sokongan kepada Eriksen dengan memakai jersi bernombor 10 pemain itu selain kain rentang mengharapkan pemain kesayangan mereka itu terus pulih.

Semangat barisan pemain Denmark di atas padang juga wajar dipuji apabila tidak berputus asa untuk merobek gawang Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 5:32 AM