GELOMBANG emosi yang menimpa Eriksen beri kekuatan luar biasa kepada Denmark. FOTO EPA
GELOMBANG emosi yang menimpa Eriksen beri kekuatan luar biasa kepada Denmark. FOTO EPA
Agensi

London: Denmark menempuh perjalanan luar biasa ke separuh akhir Euro 2020 sejak Christian Eriksen jatuh di dalam padang kerana mengalami serangan jantung pada perlawanan pembukaan peringkat kumpulan.

Jurulatih England, Gareth Southgate memberi amaran bahawa Denmark mempunyai "kekuatan yang kuat" yang mendorong mereka menuju kejayaan di Euro.

Pemain Denmark meletakkan perkara itu sebagai satu pembakar semangat dan motivasi yang kuat dalam pasukan.

Denmark kalah dua perlawanan pembukaan kumpulan selepas terkejut dengan insiden yang menimpa Eriksen tapi kemudiannya meniup semangat luar biasa untuk mereka bangkit pada pusingan kalah mati dengan mencatatkan kemenangan bergaya.

Southgate berkata: "Kami membincangkan mengenai perspektif dalam sukan tapi jarang sekali kami memilikinya. Ini adalah keadaan yang dialami oleh kami semua. Saya juga boleh bayangkan apa dialami oleh pasukan Denmark, ikatan yang mereka ada.

"Kami membicarakan mengenai apa yang sudah dilalui tapi apa yang mereka lalui pada hari itu. Cara kapten, penyokong mereka dan cara mereka laluinya. Itu cukup hebat.

"Mereka membawa gelombang emosi dan itu akan menjadi kuasa luar biasa di Wembley. Semua perkara itu akan memberi kesan kepada apa yang anda fikirkan," katanya.

Denmark tewas 0-1 di tangan Finland dalam aksi pembukaan sebelum berdepan penyingkiran apabila tewas 1-2 kepada Belgium.

Bagaimanapun, pasukan itu mara ke pusingan 16 terbaik selepas menewaskan Russia 4-1 sebelum menyingkirkan Wales 4-0.

Hanya sejam sebelum England melakar kemenangan 4-1 ke atas Ukraine, Denmark mengesahkan slot ke separuh akhir selepas menang 2-1 ke atas Republik Czech di Baku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 9:22 AM